Tanah runtuh: Laluan ke Stesen Janaelektrik Sultan Mahmud, Kenyir ditutup sementara

Nur Fazlizai Ali
Mac 4, 2022 17:25 MYT
Operasi SJSM ditutup sementara berikutan menara penghantaran voltan tinggi yang menyalurkan bekalan elektrik dari stesen itu kepada grid nasional, tumbang akibat tanah runtuh. - Gambar fail/ FB TNB Careline
HULU TERENGGANU: Laluan ke Stesen Janaelektrik Sultan Mahmud (SJSM) ditutup sementara bagi proses pembersihan dan baik pulih jalan susulan kejadian tanah runtuh di kawasan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud, berkata hujan lebat yang melanda kawasan berkenaan sebelum ini menyebabkan beberapa laluan rosak dan runtuh.
"Susulan itu laluan sejauh dua kilometer itu dijangka akan ditutup dalam tempoh antara satu hingga dua minggu bermula Rabu lalu.
"Kita letakkan seorang pegawai dan empat anggota untuk mengawal dan tugas ini akan dilaksanakan 24 jam setiap hari bagi memastikan keselamatan dan kerja pembersihan serta baik pulih jalan dapat dilaksanakan dengan lancar," katanya di sini, hari ini.
BACA: Tanah runtuh: Operasi Stesen Janaelektrik Sultan Mahmud, Kenyir dihentikan sementara
Mohd Adli berkata langkah yang dilakukan itu bagi mengawal keselamatan supaya orang ramai tidak memasuki ke zon tanah runtuh bagi mengelak kejadian tidak diingini.
Selain itu ia juga bagi memastikan keselamatan petugas-petugas yang memasuki kawasan pembersihan berkenaan.
Sebelum ini TNB memaklumkan, operasi SJSM ditutup sementara bermula Ahad lalu berikutan menara penghantaran voltan tinggi yang menyalurkan bekalan elektrik dari stesen itu kepada grid nasional, tumbang akibat tanah runtuh.
Hujan lebat luar biasa yang berterusan sejak Jumaat lalu mengakibatkan tanah runtuh yang turut memutuskan akses jalan keluar masuk SJSM pada jam 4 pagi hari sama.
#Stesen Janaelektrik Sultan Mahmud #Kenyir #tanah runtuh #tutup jalan
;