Tanah runtuh: Laluan FT059 Jalan Tapah-Cameron Highlands ditutup sementara

Bernama
November 23, 2021 11:00 MYT
Laluan FT059 Jalan Tapah-Cameron Highlands di Seksyen 62.65 akan ditutup sementara bermula hari ini bagi kerja-kerja kecemasan akibat tanah runtuh yang berlaku petang semalam. -Foto JBPM/APM
IPOH: Laluan FT 059 Jalan Tapah-Cameron Highlands di Seksyen 62.65 akan ditutup sementara bermula hari ini bagi kerja-kerja kecemasan akibat tanah runtuh yang berlaku petang semalam.
BACA: Hujan lebat dua jam, 10 lokasi di Cameron Highlands alami tanah runtuh
Menurut Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Cameron Highlands dalam satu kenyataan, laluan tersebut ditutup kepada semua kenderaan sehingga tempoh yang akan dimaklumkan kelak.
"Kerja-kerja kecemasan sedang giat dilaksanakan dan penutupan sementara laluan berkenaan adalah perlu demi keselamatan serta keselesaan pengguna pada masa hadapan.
"Pengguna jalan raya juga dinasihatkan supaya berhati-hati dan mematuhi arahan yang dikeluarkan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini," kata kenyataan itu.
Semalam, kejadian tanah runtuh berlaku di laluan di Batu 25 dan Batu 26 Jalan Tapah-Cameron Highlands menyebabkan laluan kedua-dua arah terhalang.
Ketua Polis Daerah Tapah Supt Wan Azharuddin Wan Ismail berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu daripada orang awam pada 4.25 petang.
"Tiang elektrik juga tumbang dan laluan kedua-dua arah terhalang. Kejadian itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kehilangan nyawa atau kerosakan harta benda orang awam," kata Wan Azharuddin.
-- BERNAMA
#Jalan Tapah - Cameron Highlands #jalan ditutup #Cameron Highlands #tanah runtuh
;