Tanah runtuh: Kerapkan pemantauan, orang ramai juga perlu ambil peranan - Pakar

Madiha Abdullah
Mac 10, 2022 07:30 MYT
Anggota Bomba dan Penyelamat melakukan operasi menyelamat mangsa berikutan tanah runtuh di Taman Bukit Permai. -Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa khususnya di kawasan yang berpotensi berlakunya tanah runtuh perlu lebih bersiap sedia bagi menghadapi segala kemungkinan ketika musim cuaca yang tidak menentu.
Aktivis alam sekitar, Amlir Ayat berkata, pihak seperti Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) harus melakukan pemantauan lebih kerap kerana perubahan iklim ketika ini berpotensi menyebabkan bencana seperti banjir dan tanah runtuh.
"Hujan yang tak lebat tapi berterusan juga boleh jadi punca, kerana itu pihak berkuasa harus memantau kawasan ini dengan lebih kerap.
"Kerajaan Selangor sudah wartakan undang-undang yang baik berkaitan pembangunan tanah tinggi tetapi mungkin kawasan perumahan ini telah dibina sebelum undang-undang diwartakan.
"Kawasan itu bukan sahaja kawasan tanah tinggi tetapi cerun curam, terdapat beberapa kawasan pangsapuri di tanah tinggi dan cerun.
"Ini membimbangkan, jadi majlis tempatan seperti MPAJ harus menjalankan pemantauan lebih kerap terhadap kawasan ini dan kawasan berhampiran juga, tambahan lagi kita mengalami hujan berterusan disebabkan perubahan iklim.
"Cuaca yang tidak menentu ini menyebabkan banjir di kawasan rendah dan tanah runtuh kawasan tanah tinggi dan cerun.
"Kawasan kediaman tidak selamat khususnya di Lembah Klang, kawasannya membangun dengan pesat dan penduduk ramai, apabila ada bencana kesannya lebih meruncing kerana kepadatan penduduk," katanya ketika muncul dalam Buletin AWANI khas, pada Khamis.
Kira-kira 15 rumah mengalami kerosakan dan empat mangsa maut setelah tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Teratai, Taman Bukit Permai, petang Khamis.
Selain faktor cuaca buruk, Amlir juga berpendapat paip bocor boleh menjadi antara faktor berpotensi menyebabkan kejadian tanah runtuh berkenaan.
"Ada kemungkinan tinggi kalau paip bocor itu besar dan aliran air banyak, ia akan mengganggu struktur tanah, tambahan pula hujan berterusan.
"Ada kemungkinan gangguan bukan disebabkan hari ini tetapi sebelum ini. Air tersimpan, pokok pula tidak cukup besar, akar tidak begitu kuat untuk pegang tanah cerun dengan stabil.
"Ini kemungkinan sahaja tetapi ikut apa yang saya nampak dalam video, tanah yang jatuh sangat banyak, memang ada gangguan besar kerana paip kecil tidak akan menyebabkan runtuh seperti itu," tambahnya.
Sementara itu, Presiden Institut Geologi Malaysia, Abdul Rasid Jaapar berkata, orang ramai yang tinggal di kawasan berisiko perlu mengambil langkah proaktif sendiri dan tidak hanya mengharapkan agensi kerajaan atau pihak berkuasa semata-mata.
"Rakyat perlu proaktif bagi yang tinggal di kawasan bercerun begini.
"Saya harap penduduk boleh menggembleng tenaga sama-sama memantau cerun terutama selepas hujan, perhati jika ada tanah akan berlaku tanah runtuh.
"Bagaimana boleh tahu jika potensi tanah runtuh adalah seperti retakan di puncak bukit, air mengalir dari badan cerun.
"Semua ini boleh diajar pakar, malah Institut Geologi juga boleh membantu memberi tunjuk ajar bagaimana nak kenal pasti tanda akan berlaku tanah runtuh," katanya.
Beliau juga sependapat dengan Almir bahawa ada kemungkinan tanah runtuh itu berpunca daripada hujan yang sudah berterusan sejak Isnin lalu.
"Kalau lihat cerun itu dipenuhi pokok tetapi saya yakin ketika Taman Bukit Permai dibangunkan, cerun itu pernah dilandaikan tanpa mitigasi secara kejuruteraan, mungkin kerana kedudukan dengan rumah agak jauh.
"Dalam video kita boleh lihat kandungan air begitu tinggi menyebabkan aliran runtuhan sampai ke rumah dan kereta yang diletakkan di depan rumah.
"Cerun yang runtuh itu merupakan tanah runtuh dalam, melebihi empat hingga lima meter. Kita percaya ini bukan disebabkan hujan pada hari ini tetapi hujan sejak Isnin lepas.
"Ini yang dipanggil tanah runtuh dalam tertangguh, kerana adanya faktor geologi yang kita masih belum faham, mungkin ada struktur yang menyebabkan takungan air secara perlahan," jelasnya lagi.
#tanah runtuh #Taman Bukit Permai #Abdul Rasid Jaapar #hujan berterusan
;