Tanah runtuh: Kawasan peranginan Bukit Larut ditutup sepenuhnya

Amirrul Rabbani
Januari 12, 2023 22:59 MYT
Beberapa kakitangan pengurusan Bukit Larut terkandas ketika dalam perjalanan turun dari stesen dan banglo penginapan susulan kejadian tanah runtuh ekoran kejadian hujan lebat pada Khamis. - Foto FB Pusat Peranginan Bukit Larut/ Maxwell Hill MPT
TAIPING: Beberapa kakitangan pengurusan Bukit Larut dekat sini terkandas ketika dalam perjalanan turun dari stesen dan banglo penginapan susulan kejadian tanah runtuh ekoran kejadian hujan lebat pada Khamis.
Pusat Peranginan Bukit Larut Majlis Perbandaran Taiping (MPT) dalam satu kenyataan memaklumkan walau bagaimanapun kesemua mereka berjaya turun ke kaki bukit dengan menggunakan laluan pintas.
Justeru, katanya kawasan peranginan di Bukit Larut ditutup sepenuhnya ekoran kejadian tanah runtuh yang berlaku pada jam 3 petang tadi.
“Sebahagian kakitangan pengurusan Bukit Larut yang terkandas dalam perjalanan turun dari stesen dan banglo penginapan di kilometer (km) 10 terpaksa menggunakan jalan pintas hutan untuk ke kaki bukit.
“Kejadian tanah runtuh melibatkan kawasan-kawasan sebelum Watermelon hingga ke Pondok 1. Pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) telah dimaklumkan untuk tindakan sewajarnya,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook pada Khamis.
Dalam hantaran sama turut disertakan video kejadian tanah runtuh yang juga mengakibatkan kejadian pokok tumbang di lokasi.
Pada hantaran berasingan sebelum itu, Pusat Peranginan Bukit Larut Majlis MPT memaklumkan telah berlaku tanah rebak di kawasan lereng bukit di situ.
Namun, langkah keselamatan sementara telah diambil pihak JKR dengan memasang kanvas bagi mengelak hakisan yang lebih teruk di kawasan terjejas.
Selain itu, kon dan pita keselamatan turut dipasang bagi menandakan kawasan laluan yang terjejas.
“Ini adalah kejadian tanah rebak kali kedua setelah ia dibaiki sebagai jalan sementara. Oleh kerana itu jalan Bukit Larut masih ditutup untuk operasi kereta jip.
“(Sebelum kejadian tanah runtuh) Ia dijadikan jalan sementara untuk memberi akses kepada pihak Telekom Malaysia (TM) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang naik turun setiap hari ke pencawang (di atas),” katanya lagi.
#tanah runtuh #Bukit Larut #pusat peranginan #Majlis Perbandaran Taiping
;