Tanah runtuh Kampung Lereng Bukit: Tiga mangsa ditemui, seorang maut

Rudi Affendi Khalik
Januari 29, 2025 08:05 MYT
Tiga mangsa ditemui pasukan mencari dan menyelamat susulan insiden tanah runtuh melibatkan dua buah rumah di Kampung Lereng Bukit, Miri, awal pagi tadi. - Foto APM
MIRI: Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) insiden tanah runtuh melibatkan dua buah rumah di Kampung Lereng Bukit, di sini, berjaya menemui tiga mangsa setakat jam 7 pagi ini.
Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, daripada tiga yang tertimbus, seorang meninggal dunia, dua selamat, sementara empat mangsa lagi masih belum ditemui.
"Dua mangsa pertama iaitu seorang remaja perempuan dan perempuan dewasa, ditemui selamat sekitar jam 4.55 pagi.
"Mangsa ketiga, seorang remaja lelaki, ditemui tidak bernyawa sekitar jam 6.17 pagi," katanya.
Menurut jurucakap itu lagi, dua mangsa wanita yang masing-masing berusia 71 dan 41 tahun masih hilang selain dua kanak-kanak perempuan berusia 12 dan 8 tahun.
Mangsa perempuan dewasa yang dijumpai selamat merupakan penghuni rumah Lot 287 B manakala yang lain termasuk yang meninggal dunia dan yang masih hilang adalah penghuni rumah Lot 287 A.
Sementara itu, mangsa lain di rumah Lot 287 B, kesemuanya empat orang (seorang lelaki dewasa, tiga perempuan remaja), dilaporkan selamat, kata jurucakap itu lagi.
Setakat jam 7.29 pagi, usaha mencari mangsa yang tertimbus masih giat dijalankan.
#tanah runtuh #operasi mencari dan menyelamat #Kampung Lereng Bukit #Miri
;