Tanah runtuh: JKM sediakan keperluan, bantuan kaunselor untuk mangsa trauma - Aiman Athirah

Fareez Azman
Disember 16, 2022 14:02 MYT
Sebahagian mangsa tanah runtuh yang kini berlindung sementara di Balai Polis Ulu Yam. - Astro AWANI
HULU SELANGOR: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sentiasa bersedia memberikan bantuan terhadap mangsa dalam kejadian tanah runtuh di Batang Kali.
Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, Aiman Athirah Sabu, ketika ini bantuan dari sudut keperluan telah diberikan kepada setiap mangsa yang ditempatkan di Balai Polis Hulu Yam.
"Saya hadir dengan pasukan KPWKM adalah untuk memastikan segala bantuan daripada peringkat KPWKM dapat disediakan untuk membantu mangsa-mangsa bencana.
"Dari sudut jumlah, kami tiada perincian itu. Kita serahkan pihak pejabat daerah dan polis. Di sini kita pastikan pasukan kami dari Hulu Selangor dapat bertugas dan bantu," jelasnya.
Tambah Aiman, turut disediakan kaunselor bagi membantu menenangkan setiap mangsa yang mengalami trauma akibat kejadian itu.
"Ada beberapa keperluan am antaranya minuman, tikar, bersama di sini seorang kaunselor sekiranya mangsa berada dalam keadaan trauma memang pun ada.
"Setakat itu kita boleh bantu, kita dari JKM kita takda akses kawasan zon mereah, itu sahaja saya boleh sampaikan," katanya lagi.
Mengulas lanjut ujarnya, tiada rancangan untuk membuka Pusat Pemindahan Sementara (PPS) untuk mangsa yang ditempatkan di Balai Polis Hulu Yam ketika ini.
Bagaimanapun sekiranya perlu, Sekolah Kebangsaan Hulu Yam akan dijadikan sebagai PPS buat mangsa terlibat.
#tanah runtuh #batang kali #Jabatan Kebajikan Masyarakat #bantuan #trauma
;