Tanah runtuh: Jalan Tanjung Jaga ditutup untuk semua kenderaan

Adie Sufian Zulkefli
Oktober 21, 2021 07:27 MYT
Ketika ini, kerja-kerja pembersihan giat dilakukan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR). - Gambar Astro AWANI
YAN: Kejadian hujan lebat yang berlaku lewat petang sehingga malam tadi mengakibatkan berlaku tanah runtuh di Kilometer 48.4 Jalan Tanjung Jaga di sini.
Dalam kejadian pukul 11.30 malam itu mengakibatkan laluan Tanjung Jaga ke Tanjung Dawai terpaksa ditutup sementara bermula hari ini untuk kerja-kerja pengalihan batu dan memotong batang pokok besar.
Menurut Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji, keadaan jalan tidak selamat untuk dilalui semua pengguna.
Bagaimanapun, beliau berkata, sewaktu kejadian tiada kenderaan atau mangsa yang melalui jalan terbabit.
Shahnaz memaklumkan, laluan ditutup sepanjang 30 meter iaitu dari kilometer 48.4 hingga ke 48.5 dan pengguna jalan raya perlu mencari alternatif lain untuk meneruskan perjalanan.
“Kita nasihatkan pengguna supaya gunakan jalan alternatif lain (kerana) jalan ini ditutup untuk kerja-kerja pembersihan dan kawasan ini pun kita dapati tidak selamat (untuk digunakan) buat masa ini,” kata Shahnaz.
BACA: Fenomena kepala air di Yan berulang, kali ini mangsa terperangkap
Terdahulu Shahnaz melakukan tinjauan di lokasi kejadian dan mendapati aliran air masih turun dari bukit.
Sementara itu, Pegawai Daerah Yan, Tunku Iskandar Shah Tunku Muzaffar Shah berkata, kejadian tanah runtuh dipercayai berlaku apabila aliran air baharu terbentuk di lereng bukit mengakibatkan hakisan tanah dan pokok serta batu yang berada di bahagian atas jatuh menutupi jalan.
Katanya, laluan ini akan dibuka selepas kerja-kerja pembersihan selesai dilakukan.
Tinjauan Astro AWANI di lokasi kejadian mendapati, kerja-kerja pembersihan giat dilakukan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).
Dalam kejadian hujan lebat semalam turut menyebabkan 386 rumah penduduk iaitu di Mukim Singkir dan Yan terjejas selepas dilanda banjir kilat.
Kejadian kepala air di Yan 18 Ogos lalu mengorbankan enam nyawa selepas dibawa arus deras bersama bongkah batu dan kayu.
Kejadian itu juga turut mengakibatkan kediaman penduduk terjejas dan mengalami kerosakan selepas dilanda banjir lumpur.
#tanah runtuh #Jalan Tanjung Jaga #Yan #Kedah