Tanah runtuh: Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands ditutup

Bernama
Oktober 25, 2024 18:45 MYT
Penutupan jalan dilakukan kerana masih terdapat pergerakan tanah yang berisiko tinggi untuk dilalui oleh kenderaan. - Gambar/ Bernama
IPOH: Polis menutup sepenuhnya laluan di Kilometer 43.4 Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands bermula hari ini susulan insiden tanah runtuh.

Ringkasan AI
  • Polis menutup sepenuhnya laluan di Kilometer 43.4 Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands bermula hari ini akibat insiden tanah runtuh, dengan kerja-kerja pembersihan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang dijalankan.
  • Penutupan jalan dilakukan kerana masih terdapat pergerakan tanah yang berisiko tinggi untuk dilalui oleh kenderaan, dan pengguna dinasihatkan menggunakan laluan alternatif FT059 Jalan Tapah-Cameron Highlands.
  • JKR Daerah Kinta memantau runtuhan cerun yang masih aktif dan akan menjalankan siasatan lanjut serta pemantauan berterusan untuk mengenal pasti punca runtuhan dan kaedah pembaikan.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata penutupan jalan di kedua-dua arah bermula 5 petang ini dilaksanakan bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembersihan oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR).
"Polis menjalankan kawalan lalu lintas di sepanjang laluan yang terjejas dari semasa ke semasa.
"Penutupan jalan dilaksanakan ekoran masih terdapat pergerakan tanah berlaku di kawasan lokasi yang terjejas dan laluan amat berisiko untuk dilalui oleh semua jenis kenderaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, JKR Daerah Kinta memaklumkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian di Laluan Persekutuan FT185 Jalan Simpang Pulai-Blue Valley itu pada 8 pagi, Rabu lepas.
"Hasil pemantauan mendapati runtuhan cerun masih aktif sepanjang masa walaupun cuaca baik dandikhuatiri akan bertambah buruk sekiranya hujan.
"Situasi ini mendatangkan risiko keselamatan kepada pengguna jalan raya kerana kemungkinan runtuhan pada skala besar akan berlaku jika pergerakan tanah masih berlarutan," menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu tindakan jangka pendek notis penutupan satu lorong telah dikeluarkan berkuat kuasa serta-merta dan pengguna jalan raya boleh menggunakan laluan alternatif FT059 Jalan Tapah-Cameron Highlands sebagai jalan perhubungan sementara.
Menurut jabatan itu siasatan lanjut akan dijalankan oleh Cawangan Kejuruteraan Cerun JKR bagi mengenal pasti punca runtuhan dan kaedah pembaikan yang akan dilaksanakan selain pemantauan berterusan dijalankan sebagai persediaan awal untuk sebarang kemungkinan.
-- BERNAMA
#Cameron Highlands #tanah runtuh #Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands #jalan tutup #terkini
;