Tanah runtuh Genting Highlands: Bukan kali pertama berlaku - Pakar Geologi
Fareez Azman
November 7, 2019 21:01 MYT
November 7, 2019 21:01 MYT
Insiden tanah runtuh di Genting Highlands bukan pertama kali berlaku.
Itu reaksi Presiden Institut Geologi Malaysia (IGM) Datuk Zakaria Mohamad ketika dihubungi Astro Awani untuk memaklumkan bahawa kejadian tanah runtuh di Jalan Ion De Element di sini bukan kejadian sulung yang melanda di kawasan percutian tanah tinggi pada petang Selasa lalu.
"Mengikut imej satelit yang dapati kawasan berkenaan ada rekod yang menunjukkan ada tanda-tanda berlakunya beberapa kejadian tanah runtuh berskala kecil. Apabila dilihat dari segi bahan geologi turut terdiri dari batuan granit terluluhawa serta bongkah batuan."
"Punca berlakunya kegagalan cerun di kawasan granit adalah kerana ia mempunyai tanah yang terdiri dari bongkah batuan. Seringkali, salah satu cerun di bahagian atas terlalu curam dan juga disebabkan oleh hujan lebat yang menyebabkan tanah berkenaan dalam keadaan tepu." katanya.
Tambahnya, kejadian itu hanya membabitkan lapisan tanah yang nipis yang terluluhawa akibat perubahan cuaca.
Mengulas sama ada kawasan kejadian boleh merebak sehingga ke kawasan kediaman yang berada 500 meter dari titik runtuhan.
Ianya tidak akan merebak bergantung kepada kukuhnya struktur granit dibawah sekitar kawasan kediaman, jelas Zakaria.
Dalam kejadian kira kira jam 5.40 petang Selasa lalu, struktur tanah di Jalan Ion De Element di Genting Highlands runtuh sehingga mengakibatkan jalanraya ditimbusi runtuhan.
Bagaimanapun, kerja-kerja pembersihan kesan runtuhan berjaya ditangani pihak berkuasa kurang dari 24 jam.
Sehingga kini, hanya satu laluan kepada kenderaan ringan dibuka dan pembinaan laluan alternatif sedang dijalankan oleh kontraktor yang dipilih.
#bongkah batu
#Gelinciran tanah
#Genting Highlands
#IGM
#Institut Geologi Malaysia
#Jalan Ion De Element
#kesan runtuhan
#Mata air
#pakar geologi
#tanah runtuh
#Zakaria Mohamad