Tanah runtuh: Enam sekeluarga termasuk empat kanak-kanak dikhuatiri tertimbus di Miri

Rudi Affendi Khalik
Januari 28, 2025 06:40 MYT
Menurut Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak, lokasi kejadian tanah runtuh adalah di Lot 287 A, Lot 287 B, Kampung Lereng Bukit di mana terdapat tujuh mangsa terlibat termasuk seorang dilaporkan selamat. - Foto APM
MIRI: Enam sekeluarga dikhuatiri tertimbus selepas kediaman mereka di Kampung Lereng Bukit di sini ditimpa tanah runtuh awal pagi ini.
Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak, pihaknya menerima maklumat kejadian sekitar jam 2.58 pagi tadi.
"Dua jentera dengan kekuatan 15 anggota telah diatur gerak ke lokasi dan tiba lima minit kemudian.
"Lokasi kejadian adalah Lot 287 A dan Lot 287 B, Kampung Lereng Bukit dan pasukan dimaklumkan terdapat tujuh mangsa terlibat."
Mangsa pertama, katanya, seorang lelaki dewasa bagaimanapun selamat manakala enam yang lain masih gagal dikesan.
"Mereka yang hilang dipercayai tertimbus ialah dua perempuan dewasa, tiga kanak-kanak perempuan dan seorang kanak-kanak lelaki," tambahnya.
Difahamkan, terdapat tujuh mangsa terlibat di rumah pertama (287 A) dan lima di rumah kedua.
Komander Operasi, Muhammad Khuzir Azman berkata, setakat jam 3.48 pagi usaha mengeluarkan mangsa yang tertimbus masih giat dijalankan.
Terdahulu pagi semalam, selepas empat runtuhan yang terjadi susulan hujan lebat berterusan sejak Isnin, lebih 300 penduduk di kampung tersebut telah diarahkan mengosongkan kediaman masing-masing.
300 penduduk Kampung Lereng Bukit diarah berpindah
#tanah runtuh #bomba #Sarawak #Kampung Lereng Bukit #Miri
;