Tanah Runtuh: Elak kongsi gambar mangsa dan kanak-kanak yang mengaibkan, hormati mangsa - Fahmi
Fareez Azman
Disember 16, 2022 11:30 MYT
Disember 16, 2022 11:30 MYT
PUTRAJAYA: Semua pihak diminta tidak berkongsi gambar yang mengaibkan mangsa-mangsa dalam kejadian tanah runtuh di Batang Kali.
Menurut Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, sebarang gambar mahupun video melibatkan kanak-kanak yang mengaibkan mangsa perlu dielakkan daripada dikongsi di laman sosial.
"Saya sangat sedih kadang-kadang kita bila buat laporan, macam semalam di Tawau, Sabah dipercayai ada insiden bunuh seorang ibu, ada anak kecil berusia 2 tahun.
"Bagi saya video agak grafik ini sangat menyedihkan, saya masih terkesan kalau boleh kita ingatkan pengguna media sosial kita ingatkan kita ada undang-undang dan adab," katanya.
Tambah Fahmi lagi, semua pihak perlu memberi ruang kepada mangsa yang berdepan detik sukar ketika ini.
"Adab kita adab timur kita jaga aib dan dalam insiden amat memedihkan seperti ini saya harap rakan-rakan media juga mainkan peranan mengingatkan, please be careful and exra sensitive, seperti insiden di Batang Kali ini please avoid showing faces, display names especially children.
"Isunya bukan media sahaja pengguna media sosial juga, tolong hormat mereka (mangsa) yang berdepan detik sukar ketika ini.
"Mari kita berikan mereka ruang dan tidak membuka aib sama ada dengan memaparkan retweet atau share gambar-gambar tidak patut boleh menimnbulkan fitnah dan salah faham," katanya lagi.
Dalam pada itu, mengulas mengenai kejadian tanah runtuh berkenaan, Jabatan Penerangan ujar Fahmi telah mewujudkan Pusat Operasi Bencana bagi memberikan maklumat sahih terutama kepada media.
"Berkaitan dengan tanah runtuh di Batang Kali, Gohtong Jaya pasukan penyelamat sedang menjalankan SAR, ada beberapa Menteri telah sampai dan dalam perjalanan seperti Nik Nazmi dan Nga Kor Ming.
"Difahamkan Timbalan Perdana Menteri akan ke sana, begitu juga Perdana Menteri akan ke sana lewat petang ini.
"Jabatan Penerangan telah membuka kaunter di Pusat Operasi Bencana jadi rakan-rakan media ingin mendapatkan maklumat sahih boleh berhubung dengan Jabatan Penerangan serta pusat operasi yang telah dibuka," katanya lagi.