Tanah runtuh di lombong emas ragut 10 nyawa, 43 hilang

Bernama
Julai 9, 2024 05:54 MYT
Operasi mencari dan menyelamat yang melibatkan lebih 200 anggota di Kampung Tulabolo, daerah Suwawa Timur, dihentikan buat sementara pada 6 petang Isnin akibat hujan lebat. - Gambar/ BNPB
JAKARTA: Tanah runtuh yang berlaku di sebuah lombong emas di Bone Bolango, wilayah Gorontalo, Sulawesi, Indonesia pada Ahad dilaporkan mengorbankan 10 nyawa, dengan 43 individu masih belum ditemui.
Jurucakap Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB), Abdul Muhairi pada Selasa berkata jumlah mangsa yang hilang itu disahkan oleh agensi pengurusan bencana daerah.
Beliau dalam satu kenyataan berkata operasi mencari dan menyelamat yang melibatkan lebih 200 anggota di Kampung Tulabolo, daerah Suwawa Timur, dihentikan buat sementara pada 6 petang Isnin akibat hujan lebat.
"Pihak berkuasa mengutamakan keselamatan anggota dan komited untuk meneruskan usaha pencarian apabila keadaan bertambah baik," katanya.
Abdul Muhari berkata operasi itu berdepan cabaran besar, termasuk keadaan tanah yang tidak stabil dan jalan yang tidak dapat dilalui ke kawasan terjejas, yang memerlukan perjalanan selama sembilan jam dengan berjalan kaki untuk sampai ke lokasi.
-- BERNAMA
#lombong emas #tanah runtuh #angka korban #Indonesia