Tanah runtuh di kawasan sama mungkin boleh berlaku lagi - JMG Perak
Astro Awani
November 10, 2020 12:10 MYT
November 10, 2020 12:10 MYT
IPOH: Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Perak tidak menolak kemungkinan berlaku lagi tanah runtuh di sekitar kawasan Banjaran Hotsprings Retreat, Tambun, sekiranya berlaku hujan yang berpanjangan.
Sehubungan itu, pihak JMG Perak akan berbincang dengan pihak berkuasa untuk tindakan seterusnya, termasuk kemungkinan menutup sementara resort tersebut.
Timbalan Pengarah JMG Perak, Mat Niza Abdul Rahman berkata, pihaknya mungkin akan membuat kajian lanjut untuk mengetahui tahap kekuatan tanah di kawasan tersebut.
“Kawasan ini dikelilingi oleh bukit batu kapur. Di atas batu kapur itu, ada tanah baki hasil dari batu kapur itu. Di atas tanah itu tumbuh pokok-pokok. Jadi, kita tengok dari jauh, nampak macam stabil.
“Tetapi apabila hujan, hujan yang banyak macam semalam, air hujan itu melemahkan tanah di batu itu. Jadi, apabila tanah semakin lemah, itulah yang menyebabkan berlakunya tanah runtuh,” jelasnya.
Beliau yang ditemui selepas meninjau kawasan kejadian hari ini berkata, sepanjang pengetahuannya, ini merupakan kejadian tanah runtuh pertama yang berlaku di resort tersebut.
Dalam kejadian sekitar 1 pagi Selasa, sebahagian daripada sebuah villa di Banjaran Hotsprings Retreat, Tambun, dihempap tanah runtuh, dipercayai ekoran hujan berterusan sejak malam tadi.
#tanah runtuh
#Jabatan Mineral dan Geosains
#JMG Perak
#Mat Niza Abdul Rahman
#Banjaran Hot Spring Tambun
#batu kapur
#resort
#hotel
#Tambun
#Ipoh
#tutup resort
#tahap kekuatan tanah
#Kajian