Tanah runtuh di Jalan Amber Court dan Ion Delemen, Genting Highlands

Bernama
Januari 17, 2025 21:23 MYT
Satu kejadian tanah runtuh berlaku di Jalan Amber Court dan Ion Delemen, Genting Highlands, Bentong pada 2.47 pagi tadi, menyebabkan laluan terhalang dan tidak dapat dilalui di kedua-dua arah. - Foto Sinar Harian
KUANTAN: Satu kejadian tanah runtuh berlaku di Jalan Amber Court dan Ion Delemen, Genting Highlands, Bentong pada 2.47 pagi tadi, menyebabkan laluan terhalang dan tidak dapat dilalui di kedua-dua arah.
Ketua Polis Daerah Bentong Supt Zaiham Mohd Kahar berkata setakat ini tiada kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda dilaporkan dalam insiden itu.
"Kerja pembersihan laluan telah dilakukan dan selesai pada 2 petang dan laluan sudah boleh dilalui oleh semua kenderaan. Bagaimanapun, runtuhan kedua berlaku pada 5 petang berikutan faktor hujan hingga menyebabkan kedua-dua arah jalan terpaksa ditutup semula buat sementara.
"Kerja pembersihan sedang dilakukan dan pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong serta pihak keselamatan Genting Highlands akan terus memantau lokasi berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Zaiham turut menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menularkan kejadian tidak benar termasuk lokasi kejadian tanah runtuh tersebut.
Beliau berkata orang ramai boleh menghubungi pusat kawalan daerah (DCC ) IPD Bentong di talian 09-2222222 atau mana-mana balai polis yang berdekatan untuk mendapatkan berita yang sahih.
-- BERNAMA
#tanah runtuh #Jalan Amber Court #Ion Delemen #Genting Highlands
;