Tanah runtuh di Hulu Langat, kerja pembersihan ambil masa 3 hingga 4 hari
Astro Awani
November 17, 2012 10:00 MYT
November 17, 2012 10:00 MYT
Kerja-kerja pembersihan tanah runtuh di Menara Tinjau Ampang terus dijalankan hari ini dijalankan selepas tertangguh sejak Jumaat akibat hujan lebat dan laporan terdapat kejadian tanah runtuh.
Menurut Jurutera Daerah Jabatan Kerja Raya (JKR) Hulu Langat, Mohd Zulkefly Sulaiman, laluan mungkin akan terus ditutup sementara untuk pemantauan tahap keselamatan struktur tanah.
“Diharap orang ramai bersabar sementara kami menjalankan pemantauan. Untuk membuat keputusan membuka jalan, kami perlu menilai perkembangan kerja-kerja yang dilakukan,” katanya.
Menurut beliau, pemantauan berterusan akan dilakukan bagi memastikan tahap keselamatan di tempat kejadian.
“Memandangkan sekarang ini hari semakin mendung, tidak mustahil akan hujan sebentar lagi. Jadi, kemungkinan untuk berlaku tanah runtuh sekali lagi adalah tinggi. Oleh itu kami akan membuka
jalan ini jika ia betul-betul selamat untuk kegunaan orang ramai,” tambah beliau.
Zulkefly Sulaiman menambah, punca runtuhan dipercayai disebabkan hujan lebat yang berterusan selama beberapa minggu ini.
“Hujan lebat kebelakangan ini menyebabkan tanah mudah terlerai. Jadi inilah antara punca kejadian ini berlaku,” kata Zulkefly Sulaiman.
Langkah-langkah bagi mengukuhkan tanah akan dijalankan oleh pihak Jabatan Kerja Raya bagi mengelak perkara sama terus berulang.
Menurut Ketua Unit Perancangan Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ), Shariman Mohd Nor, pihak JKR akan menggunakan kaedah Fibermat dan Hydroseeding untuk mengukuhkan struktur tanah.
“Kaedah-kaedah ini akan mengambil masa tiga sehingga empat hari dan kerja-kerja pembersihan akan terus dijalankan,” tambah beliau.
Walaubagaimanapun, keputusan membuka jalan masih belum dapat diputuskan memandangkan kawasan tersebut masih dalam keadaan berbahaya.