Tanah runtuh di Balai Polis Tongod awal pagi ini
Radhi Muslim
Februari 13, 2022 11:23 MYT
Februari 13, 2022 11:23 MYT
KINABATANGAN: Satu kejadian tanah runtuh dilaporkan berlaku di Balai Polis Tongod di sini awal pagi ini, difahamkan susulan hujan yang berterusan di kawasan ini sejak Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.40 pagi itu, runtuhan menimbulkan keadaan cemas seketika dalam kalangan penghuni balai tersebut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Nurul Azlan Shah Jamaluddin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.45 pagi.
Menurutnya, anggota BBP Kinabatangan dihantar ke lokasi sejauh 156 kilometer berkenaan.
"Pemeriksaan mendapati berlaku tanah runtuh di bahagian tepi pekarangan bangunan balai polis terbabit.
"Pasukan kami kemudiannya memasang sawar-sawar dan memastikan tiada kemerbahayaan lain.
"Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan, " katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Operasi tamat jam 7.05 pagi.