Tanah runtuh Cameron Highlands: Operasi hari kedua guna jentera berat

Abd Razak Mohd Ali
Januari 27, 2024 11:10 MYT
Kumpulan pertama membabitkan 14 anggota bersama dua ekor anjing pengesan, Frankie dan Pop, memasuki lokasi kira-kira jam 8.42 pagi manakala pasukan kedua (14 anggota) jam 10 pagi. - Gambar/ Astro AWANI
CAMERO HIGHLANDS: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) tiga lagi mangsa insiden tanah runtuh di Kampung Raja, Blue Valley, Cameron Highlands disambung semula pada kira-kira pukul 8.30 pagi ini.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Penolong Pesuruhjaya Bomba Md Gezani Md Ghazi berkata, kumpulan pertama membabitkan 14 anggota bersama dua ekor anjing pengesan, Frankie dan Pop, memasuki lokasi kira-kira jam 8.42 pagi manakala pasukan kedua (14 anggota) jam 10 pagi.
Menurut beliau, pihaknya juga akan menggunakan jentera berat berantai untuk memasuki lokasi kejadian.
“Sekarang ni kita dah dapat laluan baharu untuk mengangkut jentera tetapi kita lihat macam mana perkembangan dari semasa ke semasa.
“Jentera kemungkinan akan memasuki kawasan-kawasan kebun dan kita akan buat laluan baharu untuk kemasukan jentera berat berantai,” katanya.
Beliau ditemui ketika meninjau operasi mencari dan menyelamat pada Sabtu.
Menurut Md Gezani, pihaknya telah mendapatkan kebenaran daripada polis untuk memasuki laluan di kawasan kebun sayur.
Pada kira-kira 2.40 pagi Jumaat, lima warga Myanmar termasuk seorang wanita dikhuatiri tertimbus selepas dua rumah pekerja yang dihuni kesemua mangsa dilanda tanah runtuh.
Dua daripada lima mangsa yang tertimbus ditemukan maut dan telah dibawa keluar dari kawasan runtuhan. Operasi SAR hari pertama dihentikan jam 7 malam Jumaat kerana hujan lebat.
#Cameron Highlands #tanah runtuh #JBPM Pahang #Blue Valley
;