Tanah runtuh Bukti Permai: Wan Azizah gesa kajian terperinci dilakukan
Raja Hisyam Raja Zaid
Mac 11, 2022 16:04 MYT
Mac 11, 2022 16:04 MYT
AMPANG: Lokasi kejadian tanah runtuh yang meragut empat nyawa semalam terus menjadi tumpuan terutamanya dalam kalangan pemimpin tempatan.
Selain Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pagi yang turun padang melakukan tinjauan pada sebelah pagi tadi, Ahli Parlimen Pandan, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail tidak ketinggalan hadir untuk meninjau kawasan tragedi.
Bekas Timbalan Perdana Menteri itu tiba sekitar pukul 3 petang sebelum diberi taklimat ringkas oleh pihak berkuasa mengenai kejadian tanah runtuh yang berlaku pada 5.54 petang semalam.
Beliau agak terkejut dan tidak menyangka insiden runtuhan itu meninggalkan impak yang begitu serius
"Kita tak sangka tragedi ini dalam skala yang begitu besar terjadi di Malaysia ini. Susulannya adalah penting dan apabila melibatkan mangsa-mangsa yang telah meninggal dunia, ia menunjukan betapa seriusnya apa yang berlaku ini," kata Dr Wan Azizah kepada wartawan sejurus selesai melakukan tinjuan.
Tambahnya lagi, kajian terhadap status terkini di tapak runtuhan yang berlaku adalah penting ketika ini bagi memastikan aspek keselamatan terjamin.
Antara kajian yang perlu diberi perhatian, kata Dr Wan Azizah ialah, sekiranya masih terdapat pergerakan tanah di kawasan terbabit yang mungkin akan mewujudkan risiko keselamatan bagi penduduk selain petugas yang berada di kawasan berhampiran.