Tanah runtuh Bukit Tunku: Sumber air bawah tanah mungkin punca - Bomba
Nickyson Nyambar
April 25, 2023 18:30 MYT
April 25, 2023 18:30 MYT
KUALA LUMPUR : Sumber air yang berada di bawah aliran tanah berkemungkinan menjadi punca kepada kejadian tanah runtuh berdekatan bangunan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) milik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Bukit Tunku, di sini, pada Selasa.
Perkara itu bagaimanapun akan dipastikan dalam siasatan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), menurut Komander Operasi JBPM, Fadil Hesam Mohamad.
"Pada jam 2 petang runtuhan sepenuhnya berlaku melibatkan pondok pengawal kecil di situ.
"Kami mendapat maklumat kemungkinan besar runtuhan ini berlaku kerana terdapatnya sumber air yang berada di bawah aliran tanah.
"Bagaimanapun, ini akan dipastikan sama ada itu adalah puncanya dan kami akan memberi maklumat terkini," kata beliau kepada Astro AWANI hari ini.
Beliau turut berkata, JBPM bersama agensi-agensi lain akan terus memantau keadaan semasa di kawasan itu.
Ini selepas kepada kemungkinan berlakunya risiko tanah runtuh bergantung kepada keadaan cuaca dan angin kuat yang berlaku ketika ini.
"Semasa kami sampai memang benar ada pergerakan susulan, tetapi selepas jam antara 2.15 petang, didapati runtuhan kecilan tidak berlaku sehingga sekarang.
"Berkenaan keadaan semasa sekarang terdapatnya angin kuat menghampiri hujan lebat.
"Risiko? Berkemungkinan masih lagi ada risiko bergantung keadaan cuaca. Orang ramai yang berada di kawasan berdekatan juga telah dipindahkan ke lokasi selamat," jelasnya.
Menurutnya lagi, tempoh siasatan yang diperlukan bergantung kepada maklumat yang akan diperoleh daripada pakar Jabatan Kerja Raya (JKR).
"Jangka masa belum dapat dipastikan dan menunggu maklumat pakar dari pihak JKR.
"Anggaran maklumat siasatan penuh agak sukar kita katakan, namun mungkin dua minggu ke satu bulan," tambahnya.
Terdahulu pada jam kira-kira 1.54 petang, kejadian tanah runtuh dilaporkan berlaku berdekatan bangunan MACA milik SPRM di Jalan Duta di ibu negara.
Kejadian itu turut menyebabkan pondok keselamatan di bangunan berkenaan runtuh.
Komander Operasi Kanan Bomba Kuala Lumpur, E. Yogeswaran berkata, pihaknya yang menerima laporan kejadian menggerakkan sebuah jentera dengan kekuatan lapan anggota ke lokasi kejadian.
Kata beliau, sebanyak 76 orang terdiri 36 Lelaki 40 wanita yang berada dalam banggunan berdekatan diarahkan keluar dari bangunan ke tempat selamat.