Tanah runtuh Bukit Tunku: Cerucuk besi dipasang pada Jumaat
Rahimah Abdullah
April 26, 2023 19:15 MYT
April 26, 2023 19:15 MYT
KUALA LUMPUR : Pemasangan cerucuk besi di kawasan tanah runtuh berhampiran Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) dan Institut Integriti Malaysia (IIM) dijangka dilakukan pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, kaedah itu akan dilakukan selepas kerja-kerja penutupan runtuhan tanah menggunakan kanvas yang bermula petang Rabu selesai.
"Jadi dari segi langkah mitigasi, yang pertama, kita lakukan penutupan tanah runtuh dengan menggunakan kanvas yang bermula 3.30 petang dan ia akan mengambil masa dua hari.
"Tujuan penutupan ini bertujuan menahan sebarang aliran air daripada meresap ke dalam tanah dan memastikan air itu turun ke bawah.
"Selepas itu, kita akan memasang cerucuk besi di sekitar tanah runtuh, ia dijangka bermula 28 April ini iaitu dua hari lagi," katanya dalam sidang media selepas bermesyuarat bersama agensi penyelamat dalam insiden tanah runtuh di Bukit Tunku di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di sini pada Rabu.
Jelasnya, kerja pemasangan cerucuk besi itu akan mengambil masa selama dua minggu.
"Jadi tempoh pemasangan besi pertama di sempadan pagar IIM akan mengambil masa dua hari... selepas siap, kita akan buat akses baharu untuk keluarkan semua kenderaan yang tersadai di dalam MACA. Tindakan seterusnya akan meliputi semua kawasan tanah runtuh," ujarnya.
Sementara itu katanya, Jabatan Kerja Raya (JKR) telah meminta kontraktor yang kompeten bagi memasang alat pengesan pergerakan tanah di lokasi kejadian runtuhan tanah di Bukit Tunku.
"Kita akan letakkan 10 points bagi mengesan pergerakan tanah. Kalau berlaku pergerakan tanah, alat pengesan itu akan beri signal kepada JKR.
"Apabila terima signal, maka orang yang berada di sekitar akan diarah berpindah atau beredar," tambahnya.
Siasatan awal bagi punca runtuhan tanah berhampiran MACA itu disebabkan takungan air di bawah cerun dan berlaku kebocoran paip air di bawah tanah.