Tanah runtuh Bukit Permai: MPAJ nafi tiada tindakan terhadap aduan

Umavathi Ramayah
Mac 12, 2022 18:11 MYT
Norhayati Ahmad memberitahu, semakan mendapati pihaknya hanya menerima aduan mengenai kerosakan longkang di hadapan rumah Jalan 1/2 dan bukan di tapak tanah runtuh. - Gambar fail/Astro AWANI
AMPANG JAYA: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menafikan dakwaan penduduk di Taman Bukit Permai 2, di sini yang mengatakan tiada sebarang tindakan diambil pihak berkuasa tempatan itu berhubung aduan cerun.
Sebaliknya, Pegawai Perhubungan Awam MPAJ, Norhayati Ahmad memberitahu, semakan mendapati pihaknya hanya menerima aduan mengenai kerosakan longkang di hadapan rumah Jalan 1/2 dan bukan di tapak ini.
"MPAJ telah membuat semakan dan mendapati hanya ada aduan mengenai kerosakan longkang di hadapan rumah iaitu di Jalan1/2k dan bukannya di tapak ini.
"MPAJ telah memeriksa aduan ini dan anggaran kos membaiki adalah kira-kira RM1 juta," katanya dalam kenyataan di sini, pada Sabtu.
Walau bagaimanapun, Norhayati memaklumkan aduan longkang yang dikemukakan itu adalah melibatkan lokasi lain dan bukannya lokasi kejadian.
Beliau menegaskan, MPAJ akan sentiasa mengambil tindakan segera terhadap mana-mana aduan yang dikemukakan.
BACA: Tanah runtuh Bukit Permai: Penduduk dakwa buat aduan sejak Januari
Sebelum ini seorang penduduk di kawasan terbabit mendakwa pernah membuat aduan kepada MPAJ sejak Januari lalu selepas longkang besar dari atas bukit tersebut pecah.
Insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang dekat sini petang Khamis, meragut empat nyawa dan menyebabkan seorang cedera ringan, selain menyaksikan 15 rumah serta 10 kenderaan terjejas.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kelima-lima mangsa yang tertimbus itu bermula sebaik Balai Bomba dan Penyelamat Pandan menerima panggilan kecemasan pada 5.54 petang.
Mangsa pertama iaitu seorang lelaki warga emas berusia 84 tahun berjaya dikeluarkan pada 6.54 petang dan hanya mengalami cedera ringan namun isterinya iaitu mangsa kedua yang ditemukan pada 7.53 malam, meninggal dunia sebelum mayatnya dibawa keluar pada 9.15 malam.
Kira-kira sejam setengah kemudian, mayat mangsa ketiga iaitu seorang lelaki yang dikenal pasti sebagai pemilik rumah dibawa keluar pada 10.58 malam.
Sementara itu, mayat mangsa keempat dan kelima, kedua-duanya lelaki warga tempatan termasuk seorang pekerja Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), masing-masing ditemukan pada pukul 12.46 tengah malam dan 1.59 pagi Jumaat.
#Balai Bomba dan Penyelamat #tanah runtuh #mangsa tanah runtuh #Taman Bukit Permai #MPAJ #Norhayati Ahmad
;