Tanah runtuh Bukit Permai: Lampu rumah berkelip disusuli dentuman kuat - Saksi
Raja Hisyam Raja Zaid
Mac 11, 2022 08:39 MYT
Mac 11, 2022 08:39 MYT
KUALA LUMPUR: "Mula-mula semua lampu rumah berkelip sebelum menyusul bunyi detuman."
Itu yang diceritakan oleh Wong Ah Moi, 68, sebelum bertindak keluar dari rumah dan melihat kejadian tanah runtuh yang berlaku di Taman Bukit Permai 2, Ampang kira-kira jam 5.30 petang semalam.
Dia yang tinggal hanya sekitar 50 meter sahaja dari tapak insiden tanah runtuh yang meragut empat nyawa setakat ini berkata, dia sempat menyaksikan bagaimana tanah di kawasan terbabit runtuh menghempap sebahagian rumah berdekatan.
Jelasnya lagi, sejak menetap di kawasan perumahan terbabit kira-kira 20 tahun yang lalu, tidak pernah kejadian seumpamanya berlaku.
"Sangat ngeri dan amat menakutkan. Saya seakan masih terdengar dentuman kedua runtuhan yang sangat kuat berbanding yang pertama.
"Keadaan memang panik dan saya yang lihat kejadian tersebut seolah-olah tergamam. Saya tidak percaya apa yang saya lihat ketika itu," jelasnya yang ditemui di rumahnya pagi ini.
Kejadian tersebut juga jelasnya hampir meragut nyawa saudaranya apabila rumah mereka juga rosak selepas dihempap runtuhan tanah tersebut.
Namun mereka berjaya menyelamatkan diri selepas sempat keluar dari pintu belakang rumah mereka.
Tambahnya lagi, ketika ini, saudaranya itu terpaksa menumpang rumah keluarganya di sekitar kawasan Ampang buat sementara waktu.
Dalam kejadian yang berlaku semalam, empat terkorban manakala seorang lagi cedera apabila berlaku insiden tanah runtuh di sini sekitar jam 5:30 petang.
Kejadian yang berlaku juga turut memusnahkan beberapa kediaman penduduk berhampiran selain menyebabkan beberapa kenderaan rosak.