Tanah runtuh Bukit Permai berlaku di 'zon selamat', disifat luar jangka - Ahli MPAJ

Umavathi Ramayah
Mac 12, 2022 16:24 MYT
Mohamad Samat menjelaskan, tiada sebarang indikator awal berlakunya tanah runtuh seperti pokok-pokok kecil yang tumbang mahupun berlakunya aliran air bawah tanah yang konsisten. - Gambar/ Bernama
AMPANG JAYA: Insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2 yang meragut empat nyawa serta mencederakan seorang mangsa disifatkan sebagai luar jangkaan kerana lokasi itu diklasifikasikan sebagai kawasan selamat.
Ahli Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Zon 23, Mohamad Samat menjelaskan, setakat ini tiada sebarang indikator awal berlakunya tanah runtuh seperti pokok-pokok kecil yang tumbang mahupun berlakunya aliran air bawah tanah yang konsisten.
"Berdasarkan pengalaman saya sebagai ahli majlis (MPAJ) lebih 10 tahun, ini adalah dua indikator awal kepada berlakunya tanah runtuh.
"Kalau ada pokok ditebang pun, ia ditebang oleh penduduk di sekitar untuk bercucuk tanam. Sebab itu kami tidak sangka (akan berlakunya kejadian ini)," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, pada Sabtu.
[INFOGRAFIK] Kronologi insiden tanah runtuh Taman Bukit Permai
Mengulas lanjut, Mohamad menjelaskan mengikut sejarah, dari Jalan Teratai 1/2K hingga Sekolah Menengah Taman Seraya di Jalan Bunga Melati 10, yang jaraknya kira-kira satu kilometer, 80 peratus adalah kawasan batuan dan kawasan itu sering dipantau bagi mengelak berlaku batuan jatuh atau runtuhan kecil.
"MPAJ serta kerajaan membelanjakan jutaan ringgit untuk kerja memperkukuh cerun, membaiki longkang rosak dan membersihkan pokok tumbang.
"Hanya Jalan Teratai 1/2K dan Jalan Teratai 1/2J adalah tanah tambak dari zaman pembangunan kawasan ini dulu,” katanya.
Sementara itu Mohamad memberitahu, buffer zone atau zon penampan antara rumah penduduk di dua jalan itu dengan cerun yang runtuh juga dalam jarak selamat iaitu kira-kira 10 meter.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, lokasi tanah runtuh setakat ini masih ditutup dan tiada sebarang kerja pembersihan dan mengalihkan tanah runtuh dijalankan kerana tahap kestabilan tanah masih belum dipastikan.
Menurutnya, pasukan jawatankuasa teknikal kerajaan yang melibatkan Jabatan Kerja Raya (JKR), Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) bersama MPAJ masih lagi menjalankan kajian pergerakan tanah.
"Sebarang keputusan untuk tindakan susulan adalah bergantung kepada keputusan kajian yang dijalankan oleh jawatankuasa pasukan teknikal kerajaan itu kelak," ujarnya lagi.
Mohamad turut memberitahu, kira-kira 70 peratus penduduk daripada 48 buah rumah yang terjejas dan diminta berpindah sudah berbuat demikian setakat ini.
Justeru beliau minta keluarga yang belum berpindah hadir ke pejabat Ahli Majlis MPAJ Zon 23 atau menghubunginya untuk urusan selanjutnya.
#Ahli Majlis MPAJ #kawasan cerun selamat #tanah runtuh #Taman Bukit Permai 2
;