Tanah runtuh Bukit Larut: Empat pekerja stesen telekomunikasi berjaya dibawa turun - Bomba
Fareez Azman
November 10, 2019 11:50 MYT
November 10, 2019 11:50 MYT
Empat pekerja stesen telekomunikasi yang terperangkap akibat tanah runtuh di laluan tar kawasan Bukit Larut Taiping pagi tadi berjaya dibawa keluar pasukan mencari dan menyelamat kira kira jam 11 pagi tadi.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Taiping Rafeel Hairul Ricard, operasi membawa keluar mangsa mengambil masa beberapa jam.
Ia berikutan runtuhan tanah serta pokok tumbang yang menghalang laluan jalan tar berkenaan.
Tambah Rafeel ketika dihubungi Astro AWANI, kesemua mangsa telah dibawa turun ke kaki bukit sebelum dibenarkan pulang.
Dalam kejadian kira kira 8.52 pagi tadi, empat pekerja telekomunikasi itu terperangkap selepas laluan utama ke pemancar ditutup oleh runtuhan tanah.
Bagaimanapun tindakan pantas Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Majlis Perbandaran Taiping (MPT) berjaya mengalihkan runtuhan.
Sementara itu, MPT dalam satu kenyataan memaklumkan operasi di Bukit Larut terpaksa ditutup sementara waktu bermula 9 November hingga 11 November.
Ia bagi membolehkan kerja pembersihan pokok tumbang dan tanah runtuh di beberapa kawasan terbabit dilakukan.
Bagaimanapun, katanya pelawat yang ingin beriadah dan berjalan kaki, masih boleh menjalankan aktiviti tersebut seperti biasa, dari kaki bukit sehingga Tea Garden.
#Astro Awani
#bomba
#Bukit Larut
#JKR
#mangsa
#MPT
#Pokok tumbang
#selamat
#Stesen Telekomunikasi
#syarikat
#Taiping
#tanah runtuh
#tertimbus