Tanah runtuh Bukit Kukus: 2 maut, 7 masih hilang

Dewi Nur Harasha Alias
Oktober 19, 2018 08:08 MYT
Ketika ini, pasukan penyelamat sedang melakukan operasi menyelamat mangsa yang kebanyakannya terdiri daripada pekerja di tapak pembinaan tersebut. - Foto JBPM
Dua mangsa yang maut tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di kawasan pembinaan di Jalan Bukit Kukus di sini telah ditemui dan berjaya dibawa keluar sekitar jam 3.04 petang dan 5.08 petang tadi.
Seorang lagi mangsa turut berjaya dibawa keluar dan dilaporkan mengalami kecederaan.
Pihak bomba mengesahkan, dua mangsa yang terkorban itu ialah warganegara Indonesia dan Bangladesh, yang dikenali dengan nama Samsol dan Attrul.
Buat masa ini, pihak JBPM memaklumkan tujuh lagi individu masih belum ditemui.
Pihak JBPM menerima laporan tentang insiden berkenaan sekitar jam 1.50 tengah hari sebelum menggerakkan anggotanya ke lokasi insiden.
Kejadian berlaku kira-kira jam 2 petang Jumaat di kawasan tapak pembinaan jalan raya berkembar dari Paya Terubong menghala ke Relau.
Awalnya, Pengerusi Kebajikan Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Negeri, Phee Boon Poh telah mengesahkan perkara itu ketika dihubungi Astro AWANI petang tadi.
Kawasan runtuhan tersebut dianggarkan berkeluasan 500 x 200 kaki yang turut melibatkan empat buah kontena tertimbus.
Buat masa ini, pihak media difahamkan kontena di tapak pembinaan berkenaan digunakan untuk menempatkan pekerja-pekerja binaan.
Ketika ini, pasukan penyelamat sedang melakukan operasi mencari dan menyelamat mangsa-mangsa.
#bukit kukus #George Town #mangsa #maut #operasi sar #paya terubong #relau #tanah runtuh #warga asing