Tanah runtuh Batang Kali: TPM saran tapak perkhemahan berhampiran cerun, tepi sungai dikosongkan

Bernama
Disember 16, 2022 22:32 MYT
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyarankan agar semua tapak perkhemahan berhampiran cerun bukit atau tepi sungai dikosongkan sementara susulan keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini. - Foto Astro AWANI
BATANG KALI: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyarankan agar semua tapak perkhemahan berhampiran cerun bukit atau tepi sungai dikosongkan sementara susulan keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini.
Beliau berkata walaupun kawasan itu selamat buat masa ini, ramalan Jabatan Meteorologi menyatakan episod hujan lebat akan bermula esok terutama di Pantai Timur.
"Jadi dikhuatiri hujan lebat akan menyebabkan berlakunya kepala air," katanya selepas melawat dan mendengar taklimat berhubung insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan Fathers' Organic Farm di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan.
[LAPOR LANGSUNG] Tanah runtuh Batang Kali: Angka korban meningkat ke 21 orang, 12 dikhuatiri hilang
Insiden sekitar 2.42 pagi itu, yang melibatkan runtuhan sepanjang hampir 300 meter dan setinggi 70 meter, menyebabkan 21 orang maut setakat 7.10 malam.
Seramai 12 mangsa masih hilang manakala 61 orang terselamat.
Ahmad Zahid, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Pusat, berharap tragedi itu dijadikan iktibar dan langkah berjaga-jaga diambil agar situasi sama tidak berulang.
-- BERNAMA
#tanah runtuh #Zahid Hamidi #Timbalan Perdana Menteri #hujan lebat #PM10
;