Tanah Runtuh Batang Kali: Tiga lagi mayat dituntut keluarga

Hasimi Muhamad
Disember 18, 2022 21:22 MYT
Mangsa yang merupakan pasangan suami isteri dan anak lelaki mereka yang berusia tiga tahun dibawa keluar dari pekarangan hospital kira-kira jam 9 malam. - Gambar/ Astro AWANI
SUNGAI BULOH: Tiga mayat terakhir daripada 24 mangsa yang ditempatkan di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh telah dituntut oleh waris pada Ahad malam.
Mangsa yang merupakan pasangan suami isteri dan anak lelaki mereka yang berusia tiga tahun dibawa keluar dari pekarangan hospital kira-kira jam 9 malam.
Semua mereka adalah sebahagian daripada mangsa kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Batang Kali Jumaat lalu,
Terdahulu, adik mangsa yang mahu dikenali sebagai Mary berkata, mayat kakaknya bersama suami dan anak lelaki telah dikenal pasti.
Begitupun, Mary berkata seorang lagi anak saudara perempuannya yang berusia enam tahun belum ditemukan.
[LAPOR LANGSUNG] Tanah runtuh Batang Kali: Operasi hari ketiga diteruskan, 9 mangsa masih hilang
Setakat 1 tengah hari Ahad, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) memaklumkan 21 daripada 24 mangsa yang terkorban dalam tragedi tanah runtuh di Batang Kali telah dikenal pasti identiti mereka.
Proses mengenal pasti mayat mangsa dijalankan melalui tiga kaedah iaitu pengecaman DNA, cap jari dan pengecaman waris pada wajah atau barangan peribadi serta tanda unik pada badan mangsa.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang giat dijalankan untuk mengesan sembilan lagi individu yang hilang.
Seramai 94 mangsa terlibat dalam kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Batang Kali pada awal pagi Jumaat lalu.
#tanah runtuh #batang kali #mayat mangsa #identiti mangsa
;