Tanah runtuh Batang Kali: 'Terima kasih kepada semua' - Dr Zaliha

Sinar Harian
Disember 25, 2022 22:30 MYT
DR ZALIHA: Terima kasih kepada semua pihak yang bertungkus lumus sejak 16 Disember lalu dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) tragedi tanah runtuh Father's Organic Farm yang berakhir hari ini (Ahad). -Facebook
SHAH ALAM: Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa mengucapkan setinggi penghargaan kepada semua pihak yang bertungkus lumus dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) tragedi tanah runtuh Father's Organic Farm sejak lebih seminggu lalu yang berakhir pada Ahad.
Beliau menyatakan penghargaan berkenaan menerusi hantaran di Facebook semalam.
"Terima kasih kepada semua pihak yang bertungkus lumus sejak 16 Disember lalu dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) tragedi tanah runtuh Father's Organic Farm yang berakhir hari ini (Ahad).
"Setinggi penghargaan juga buat pasukan perubatan serta warga Kementerian Kesihatan (KKM) di Hospital Selayang dan Hospital Sungai Buloh.
"Buat seluruh keluarga mangsa yang terlibat, takziah saya ucapkan," katanya.
Dalam tragedi menyayat hati yang berlaku pada jam 2.42 pagi Jumaat itu, seramai 92 mangsa terbabit dalam insiden tanah runtuh dengan 31 disahkan terkorban manakala 60 lagi disahkan selamat.
Mayat mangsa terakhir membabitkan kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun ditemui pada Sabtu. -Sinar Harian
#Zaliha Mustafa #Tragedi Tanah Runtuh Batang Kali #Menteri Kesihatan #Father's Organic Farm