Tanah runtuh Batang Kali: 'Tapak rekreasi tak patut ada dekat dengan kawasan berisiko'

Israr Khalid
Disember 16, 2022 05:20 MYT
Keselamatan pengunjung harus menjadi perincian utama sebelum sebarang tempat rekreasi dibuka. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Sebarang bentuk tempat rekreasi atau perkhemahan tidak sewajarnya diwujudkan berhampiran dengan kawasan yang berisiko seperti tebing tinggi.
Sehubungan itu, Pengerusi Kluster Alam Sekitar dan Kelestarian Akademi Profesor Malaysia Prof. Emeritus Datuk Ibrahim Komoo menyarankan kerajaan supaya menetapkan garis panduan yang lebih tegas untuk mengelakkan tragedi seperti yang berlaku di Batang Kali berlaku lagi.
[LAPOR LANGSUNG] Tanah runtuh Batang Kali: Angka korban meningkat ke 21 orang, 12 dikhuatiri hilang
Katanya, sepatutnya perkara itu menjadi pertimbangan utama yang diberi perhatian memandangkan insiden tanah runtuh sudah menjadi satu kelaziman di negara ini setiap kali musim tengkujuh terutamanya di kawasan perbukitan.
“Lazimnya juga ia tidak diberi perhatian kerana tiada kerosakan harta atau kematian yang berlaku.
“Namun ini pertama kali pernah saya lihat di negara kita di mana kita punyai kawasan rekreasi dan perkhemahan yang betul-betul di bawah cerun tambakan jalan yang kedudukannya sekitar 100 meter sahaja,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Jumaat.
Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming mengesahkan bahawa syarikat yang menyelia kawasan perkhemahan yang terlibat dalam tragedi itu tidak mempunyai lesen untuk mengendalikan aktiviti berkenaan.
Maka kata Prof. Ibrahim, semua pihak harus mengambil iktibar daripada insiden ini terutama sekali kerajaan yang wajar bertindak lebih proaktif dan telus.
“Seboleh-bolehnya kawasan rekreasi dan perkhemahan ini janganlah dibuat berhampiran dengan cerun-cerun buatan, kalau boleh biarlah ia dekat dengan anak-anak sungai di kawasan hutan yang belum diterokai.”
Tapak rekreasi tak patut ada dekat dengan kawasan berisiko - Prof. Ibrahim Komoo
#Tanah Runtuh Batang Kali #Father's Organic Farm #tapak rekreasi #kawasan berisiko
;