Tanah runtuh Batang Kali: Tanih tepu dipercayai punca utama tanah runtuh - Pakar
Bernama
Disember 16, 2022 22:32 MYT
Disember 16, 2022 22:32 MYT
KUALA LUMPUR: Tanih yang tertepu dengan kelembapan akibat hujan berterusan sejak beberapa hari lepas dipercayai antara punca utama berlakunya insiden tanah runtuh berhampiran tapak perkhemahan Father's Organic Farm, Gohtong Jaya, Batang Kali.
Pakar Geologi Profesor Emeritus Datuk Ibrahim Komoo keadaan itu menyebabkan struktur tanih iaitu lapisan tanah yang subur di bawah lapisan tanah yang di atas sekali menjadi lemah sekali gus menyebabkan cerun di kawasan berkenaan tidak stabil.
"Apabila hujan berterusan, ruang-ruang tanah akan mula diisi dengan air menyebabkan struktur tanih ini menjadi lembab dan lemah.
"Keadaan diburukkan lagi dengan cuaca redup menyebabkan proses sejatan untuk mengurangkan kandungan air pada tanah berkurangan yang mendorong berlakunya kejadian gelongsoran tanah dengan membawa sejumlah besar tanah dari bahagian cerun," katanya.
Beliau juga berpendapat tapak perkhemahan itu tidak sesuai didirikan di situ memandangkan ia terletak berhampiran dengan kawasan lembah sungai iaitu hanya pada jarak lebih kurang 30 meter selain berdekatan dengan kawasan cerun buatan atau tambakan jalan.
Pensyarah di Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM) Profesor Madya Haliza Abdul Rahman turut bersetuju bahawa tapak perkhemahan di kawasan tanah tinggi sememangnya berisiko untuk mengalami tanah runtuh terutama semasa fasa Monsun Timur Laut (MTL).
"Tanah runtuh adalah bencana yang kedua kerap berlaku selepas banjir di negara ini dan ia sering berlaku semasa musim Monsun Timur Laut. Setiap cerun yang berisiko berlaku tanah runtuh mempunyai tanda tertentu termasuk berlaku penyusutan tanah atau tanda rekahan apabila gerakan tanah mula berlaku.
"Mungkin kita kurang cakna apabila ada rekahan kecil dan tidak mengambil langkah-langkah yang sepatutnya sehingga berlaku tanah runtuh, sedangkan ia merupakan tanda amaran awal,'' katanya.
Pakar Meteorologi Profesor Datuk Azizan Abu Samah pula berkata Malaysia kini berada di fasa MTL yang membawa hujan berterusan hingga Mac 2023.
"Apabila hujan lebat berterusan, setiap cerun berisiko untuk berlaku pergerakan tanah dan kejadian tanah runtuh terutama di kawasan-kawasan yang 'diusik' dengan pembangunan," katanya.
Setakat 8 malam tadi, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan 21 mayat telah dijumpai, 12 masih hilang manakala 61 lagi mangsa berjaya diselamatkan.
Insiden tanah runtuh melibatkan Father's Organic Farm pada 2.42 pagi itu memerangkap seramai 94 individu termasuk pekerja tapak perkhemahan berkenaan.
Operasi mencari dan menyelamat mangsa masih giat dilakukan pasukan penyelamat antaranya melibatkan Unit Anjing Pengesan (K9) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Sentosa, Ampang, Pandan, Kota Anggerik, Kajang dan Andalas serta Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM).
-- BERNAMA