Tanah runtuh Batang Kali: Sultan Selangor, Tengku Permaisuri khuatir anggota SAR sakit
Hasimi Muhamad
Disember 20, 2022 15:58 MYT
Disember 20, 2022 15:58 MYT
KUALA LUMPUR: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri, Tengku Permaisuri Norashikin menzahirkan kebimbangan terhadap tahap kesihatan anggota operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang terlibat dalam tragedi tanah runtuh di Batang Kali, dilaporkan sakit.
Baginda berdua berharap agar semua pihak diberikan segala kemudahan fizikal dan mental untuk menyelesaikan operasi dengan sempurna.
Titah Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri lagi, jabatan kerajaan dan agensi yang terlibat dalam operasi SAR diharap terus bersemangat dan bersatu hati.
Dalam satu kenyataan di Facebook Selangor Royal Office, Baginda berdua menambah amat menghargai usaha dan kesungguhan semua pihak.
"Baginda berdua turut khuatir apabila diberitahu bahawa ada anggota yang cedera, sakit dan berdepan cabaran getir sepanjang operasi ini berjalan.
"Baginda bimbang keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini juga akan menyukarkan lagi usaha-usaha SAR yang sedang giat dilaksanakan sejak 16 Disember lalu," demikian menurut kenyataan tersebut pada Selasa.
Semalam, seorang anggota APM Selangor yang turut serta dalam operasi SAR mangsa tanah runtuh dilapor mengalami kecederaan dan kini sedang menerima rawatan.
Selain itu, Pengarah JBPM Selangor, Datuk Norazam Khamis turut dimasukkan ke Hospital Selayang selepas diserang 'minor stroke' atau angin ahmar ringan, selain keletihan.
Dalam masa yang sama, Baginda berdua berkenan menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada anggota-anggota keselamatan yang masih bertungkus lumus menjalankan SAR mencari sembilan lagi mangsa yang masih hilang.
Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Norashikin turut berbangga dengan kesiapsiagaan yang ditunjukkan dan sinergi pelaksanaan terbaik oleh setiap agensi yang terlibat sejak hari pertama.
"Baginda mendoakan agar pengorbanan mulia anggota-anggota penyelamat ini dalam melaksanakan tugas masing-masing dengan bersungguh-sungguh akan dikurniakan ganjaran setimpal oleh Allah SWT," tambah Selangor Royal Office.
Lima agensi penyelamat yang terbabit dalam operasi SAR adalah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM); Polis Diraja Malaysia (PDRM); Angkatan Tentera Malaysia (ATM); Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Selangor.
Setakat petang ini, 24 mangsa disahkan terkorban dalam tragedi tanah runtuh, dengan sembilan lagi masih hilang.