Tanah Runtuh Batang Kali: Sukarelawan, NGO tidak dibenar masuk kawasan pencarian - KPN

Hasimi Muhamad
Disember 17, 2022 19:37 MYT
Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani tiba di lokasi kejadian tanah runtuh di Father Organic Farm Batang Kali hari ini. - Foto BERNAMA
HULU SELANGOR: Sukarelawan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tidak dibenarkan berada di lokasi operasi mencari dan menyelamat (SAR) insiden tanah runtuh Batang Kali, di sini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata operasi SAR hanya diketuai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), dan tidak sesuai bagi orang awam untuk membantu operasi.
“Mereka (JBPM) akan tentukan siapa yang akan dibenarkan masuk ke kawasan pencarian untuk membantu mereka secara berkesan.
“Kalau tidak ia akan menyebabkan keadaan lebih kucar-kacir kerana kawasan pencarian yang luas,” katanya selepas menghadiri tinjauan di lokasi insiden tanah runtuh di sini pada Sabtu.
[LAPOR LANGSUNG] Tanah runtuh Batang Kali: Satu mayat kanak-kanak perempuan ditemukan, angka korban 24
Dalam pada itu, Acryl Sani memaklumkan pengamal media akan dibenarkan memasuki kawasan ‘red zone’ secara bergilir bermula malam ini.
Begitu pun, tegasnya kebenaran berkenaan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan termasuk kawalan daripada pasukan keselamatan.
Setakat petang Sabtu, seramai 24 mangsa terkorban dalam insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, manakala sembilan lagi masih hilang.
Seramai 135 petugas SAR yang pakar dengan kejadian tanah runtuh dikerah ke lokasi runtuhan bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku, selain memastikan keselamatan pasukan bertugas.
#tanah runtuh #batang kali #Ketua Polis Negara #Acryl Sani Abdullah Sani
;