Tanah runtuh Batang Kali: Suasana pilu selubungi bilik mayat Hospital Sungai Buloh

Umavathi Ramayah
Disember 17, 2022 13:38 MYT
Ahli keluarga mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, Batang Kali, tiba di Unit Forensik Hospital Sungai Buloh untuk melakukan proses pengecaman mayat hari ini. - Foto BERNAMA
SUNGAI BULOH: Suasana pilu menyelubungi perkarangan bilik mayat Hospital Sungai Buloh di sini, tengah hari ini yang menempatkan mayat 21 mangsa tragedi tanah runtuh Batang Kali.
Cuaca mendung sejak pagi tadi seolah-olah turut sama meratapi pemergian kesemua mereka.
Difahamkan sembilan anggota keluarga dan waris mangsa sudah berada di hospital sejak pukul 9 pagi dan pengecaman mayat sudah dilakukan.
Sehingga pukul 1.30 tengah hari, proses bedah siasat masih dijalankan.
[LAPOR LANGSUNG] Tanah runtuh Batang Kali: Operasi SAR fokus dua tapak perkhemahan, guna jentera berat
Menurut sumber, keadaan mayat sempurna namun diselaputi lumpur dan ada kesan luka berkemungkinan kesan dihempap pokok atau batu ketika kejadian.
Tragedi Batang Kali | Proses bedah siasat mayat mangsa masih dijalankan
Daripada 21 mayat yang dibawa ke Hospital Sungai Buloh, lima adalah kanak-kanak, 12 wanita dan empat lelaki.
Identiti mangsa setakat ini masih belum diumumkan secara rasmi.
Setakat malam tadi, seramai 21 mangsa disahkan meninggal dunia dalam kejadian runtuhan tanah di Jalan Batang Kali - Gohtong Jaya, manakala 12 orang lagi masih dilaporkan hilang.
Seramai 94 individu terlibat dalam kejadian tanah runtuh yang berlaku pada awal pagi Jumaat.
#tanah runtuh #batang kali #Hospital Sungai Buloh #identiti mangsa
;