Tanah runtuh Batang Kali: RM10,000 kepada mangsa terkorban, RM1,000 setiap keluarga terlibat - PM
Fareez Azman
Disember 16, 2022 23:20 MYT
Disember 16, 2022 23:20 MYT
HULU SELANGOR: Kerajaan akan menyalurkan sumbangan bantuan RM10,000 kepada setiap mangsa yang terkorban dan RM1,000 bagi setiap keluarga yang terlibat dalam tragedi tanah runtuh di Batang Kali pada Jumaat.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bantuan itu akan disalurkan menerusi Kerajaan Negeri Selangor kepada keluarga mangsa.
"Keluarga yang terlibat, kerajaan akan berikan bantuan segera dan akan diselaraskan oleh pihak Menteri Besar. Untuk mangsa meninggal dunia kita akan segerakan bantuan RM10,000, dan RM1,000 untuk keluarga yang terlibat.
"Saya percaya perkara ini dapat diselaraskan oleh kerajaan negeri. Sekali lagi saya ucapkan ini satu tragedi untuk kita, saya dapat juga (ucapan) zahir rasa simpati daripada pemimpin negara luar termasuk Perdana Menteri Singapura," jelasnya dalam sidang media di sini pada Jumaat.
Tambah Anwar, bantuan berkenaan akan diuruskan oleh kerajaan negeri dengan kadar segera.
Dalam pada itu, Anwar turut menzahirkan rasa simpati kepada keluarga mangsa yang terkorban dan terlibat atas kejadian itu.
"Saya akan arahkan pegawai esok, saya lebih bersetuju hal diselaraskan pasukan di bawah Kerajaan Negeri Selangor agar dapat mengendali lebih baik.
"Pihak persekutuan akan uruskan esok, InsyaAllah terserah kepada Menteri Besar untuk uruskan sebaiknya," katanya lagi.
Perdana Menteri meluangkan masa kira-kira satu jam mendengar taklimat mengenai operasi mencari dan menyelamat di lokasi kejadian.
Turut hadir, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani serta Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.