Tanah runtuh Batang Kali: Raja Permaisuri Agong berkenan melawat lokasi kejadian

Fareez Azman
Disember 18, 2022 08:56 MYT
Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan melawat lokasi kejadian tanah runtuh di Batang Kali, pada Ahad. - Gambar Astro AWANI
BATANG KALI: Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan melawat lokasi kejadian tanah runtuh, di sini, pada Ahad.
Baginda berangkat tiba sekitar pukul 4.15 petang sebelum diberi taklimat oleh pihak berkuasa.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.
Tunku Azizah yang berkenan bertemu dengan media, menitahkan semua pihak terutama keluarga mangsa yang terlibat dengan tragedi berkenaan supaya terus bersabar.
Baginda bertitah, semua anggota operasi mencari dan menyelamat (SAR), kini sedang melakukan usaha terbaik bagi mencari baki sembilan mangsa yang masih hilang.
Sehingga kini, lokasi pencarian tertumpu di tiga sektor iaitu sektor A (Kem Hill View), B (Kem Farm View) dan C (Kem Riverside).
Bagaimanapun, usaha pencarian pasukan mencari dan menyelamat belum menemui mangsa yang hilang.
Jumlah mangsa hilang kekal sembilan orang sehingga pukul 4 petang Ahad.
#Tanah Runtuh Batang Kali #Raja Permaisuri Agong #mayat mangsa #jumlah kematian