HULU SELANGOR: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari akan melawat lokasi kejadian tanah runtuh berhampiran tapak perkhemahan di Father's Organic Farm, Gohtong Jaya, Batang Kali malam ini.

Amirudin dalam satu kenyataan pada Jumaat turut memaklumkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan turut serta dalam lawatan tersebut.

Setakat ini, pihaknya telah menggerakkan segala bantuan daripada pihak kerajaan negeri buat seluruh mangsa yang terlibat.

"Agensi kerajaan telah turun ke lokasi kejadian pagi tadi bagi mengkoordinasikan segala bantuan yang diperlukan dari pihak Kerajaan Negeri Selangor melalui penyelarasan Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor dengan agensi-agensi berkaitan agar mangsa yang belum dikesan dapat dicari sesegera mungkin.

"Saya akan turun ke lokasi kejadian malam ini bersama Perdana Menteri dan mohon doa daripada seluruh rakyat agar pasukan mencari dan menyelamat  dilindungi Allah SWT supaya setiap mangsa yang belum dikesan dapat diselamatkan," katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.
[LAPOR LANGSUNG]: Tanah runtuh Batang Kali: Angka kematian meningkat kepada 16


Amirudin turut menzahirkan ucapan takziah terhadap kesemua mangsa yang terkorban terdiri daripada tiga kanak-kanak, tujuh wanita dan dua lagi mangsa lelaki.

Setakat ini, Kementerian Pembangunan dan Kementerian Tempatan (KPKT) dalam ciapan Twitter terbaharu melaporkan16 maut, 17 masih terperangkap dan 17 lagi masih belum dijumpai. 


Setakat jam 12 tengah hari tadi, didapati bahawa 94 mangsa terbabit dalam tragedi itu.