Tanah runtuh Batang Kali: Pilu seorang nenek, hilang empat ahli keluarga sekelip mata
Umavathi Ramayah
Disember 18, 2022 14:16 MYT
Disember 18, 2022 14:16 MYT
SUNGAI BULOH: Luluh jiwa seorang nenek apabila dia kehilangan empat ahli keluarga sekelip mata dalam tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan di Father's Organic Farm, Batang Kali, pada Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu, Beh Su Lee, 59, kehilangan anak perempuannya, menantu serta dua cucu yang berusia satu dan enam tahun.
Menurutnya, pengecaman mayat ke atas tiga mangsa dilakukan semalam manakala seorang lagi pada Ahad.
“Semua empat, tiga (dibuat pengecaman) semalam hari ini satu,” katanya sambil menangis ketika ditemui di Hospital Sungai Buloh (HSB) di sini, pada Ahad.
Menurut Su Lee, anak perempuannya berusia 35 tahun manakala menantunya pula berusia 34 tahun
Keempat-empat mangsa tanah runtuh itu dilihat meninggalkan HSB menaiki dua kenderaan Pusat Peringatan Nirvana pada pukul 1.22 tengah hari.
Sebuah kenderaan membawa pasangan suami dan isteri, sementara sebuah lagi kenderaan membawa kedua-dua anak mereka.
Dengan perkembangan ini, 21 daripada 24 mayat yang ditempatkan di HSB sudah dituntut sehingga pukul 2 petang.