Tanah runtuh Batang Kali: Pasukan SAR temui kesan perkhemahan sebelum jumpa mayat mangsa - Bomba

Fareez Azman
Disember 22, 2022 13:29 MYT
Operasi hari ini melibatkan 128 pegawai dan anggota, dibantu 11 jengkaut tanah, dan tujuh unit anjing pengesan K-9. - JBPM
HULU SELANGOR: Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) berjaya menemui kesan perkhemahan di Sektor C sebelum empat mayat mangsa dijumpai.
Menurut Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail, pasukan SAR menemui tanda-tanda berkenaan kira-kira jam 10.43 pagi.
"Pasukan telah menjumpai tanda-tanda di peringkat awal, iaitu pada lebih kurang pukul 10.43 pagi kami telah menjumpai tanda-tanda dan petunjuk kesan perkhemahan.
"Kita usaha dan dapat empat mangsa dipercayai dalam satu khemah bersama peralatan dan barang-barang peribadi masing-masing," katanya dalam sidang media di lokasi kejadian pada Khamis.
Tambah Wan Md Razali, sektor pencarian kini tertumpu di sektor C dan A dipercayai lokasi baki mangsa yang hilang.
Operasi hari ini, jelasnya, melibatkan 128 pegawai dan anggota, dibantu 11 jengkaut tanah, dan tujuh unit anjing pengesan K-9.
BACA: Empat mayat mangsa ditemui kedalaman 7 meter - Polis
#tanah runtuh #batang kali #Perkhemahan #SAR #mayat mangsa
;