Tanah runtuh Batang Kali: Pasukan SAR pastikan jentera pengorek tidak cederakan badan mangsa

Rahimah Abdullah
Disember 18, 2022 12:57 MYT
Pengarah JBPM Selangor, Datuk Norazam Khamis bercakap pada sidang media perkembangan terkini susulan kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, Batang Kali hari ini. - Foto BERNAMA
BATANG KALI: Lapan unit jentera pengorek (excavator) digerakkan ke tapak runtuhan cerun di tapak perkhemahan di Father's Organic Farm di sini berdasarkan lokasi terakhir mangsa dijumpai semalam.
Pengarah JBPM Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, kesemua jentera berat itu ditempatkan di tiga sektor pencarian iaitu sektor A (Kem Hillview),B (Kem Farm View) dan C (Kem Riverside).
“8 excavator ditempatkan di sektor A,B dan C bagi memastikan kerja pengorekan tanah dilakukan.
“Kita dapat peralatan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEN) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bagi mengesan mangsa dalam tanah. Pasukan ini telah ditempatkan di sektor A dan C,” katanya dalam sidang media di sini pada Ahad.
Ujarnya, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) melakukan kerja pengorekan tanah menggunakan jentera pengorek dengan berhati-hati bagi mengelak mencederakan badan mangsa yang tertimbus.
“Untuk proses penggalian menggunakan excavator ini, kita ada beberapa peringkat digunakan. Pada peringkat awal, kemungkinan tanah yang dialihkan berdasarkan anggaran kira-kira tiga kaki, dan kita percaya badan mangsa berada di dalam iaitu antara tanah runtuhan dengan tanah asal.
“Selepas keluarkan tanah peringkat awal, selepas itu kerja pengorekan dihentikan dan K9 (Unit Anjing Pengesan) digunakan atau secara manual.
“Jika tidak ada tanda menunjukkan ada badan mangsa, kita mengorek tanah itu secara perlahan untuk mengelak badan terkena bucket jengkaut tanah,” ujarnya.
[LAPOR LANGSUNG] Tanah runtuh Batang Kali: Operasi hari ketiga diteruskan, 9 mangsa masih hilang
Selain itu, proses pengorekan itu turut dikendalikan seorang pasukan penyelamat yang ditugaskan untuk memberi panduan dan arahan penggalian yang betul.
“Dia mungkin akan mengorek suku bucket sahaja dan tarikan tanah itu juga dilakukan secara perlahan-lahan. Pada masa sama, pasukan penyelamat akan berada di kawasan sekeliling penggalian yang mana tahap keselamatan mereka terjamin dan perhatikan pergerakan bucket itu,” tambahnya.
Beliau memberi contoh langkah pengorekan tanah pada Sabtu yang dilihat berkesan dengan tindakan berhati-hati.
“Semalam bila kita korek tanah itu, kita dapati tanah diangkat dan kita nampak tangan terkeluar.
“Apabila nampak tangan terkeluar kita hentikan kerja pengorekan oleh jentera dan kerja-kerja penggalian dibuat,” kata beliau lagi.
[TERKINI] Sidang media hari ketiga operasi SAR tragedi Batang Kali
Dalam pada itu, tiga Unit Anjing Pengesan (K9) turut digunakan dalam operasi SAR pada Ahad.
“Pada peringkat awal ini kita masukkan tiga K9 sebab yang lain perlu berehat. Apabila keadaan pulih kita akan tambah lagi,” jelasnya.
Operasi SAR yang bersambung pada jam 9 pagi tadi menunjukkan tiada penemuan baharu jasad baki mangsa runtuhan tanah yang masih tertimbus dalam tragedi itu.
#tanah runtuh #batang kali #operasi sar
;