Tanah runtuh Batang Kali: Operasi SAR diteruskan 24 jam - Bomba
Afiezy Azaman
Disember 16, 2022 18:25 MYT
Disember 16, 2022 18:25 MYT
HULU SELANGOR: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tanah runtuh di tapak perkhemahan Jalan Batang Kali-Gohtong Jaya, akan diteruskan selama 24 jam.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, bagaimanapun operasi berkenaan akan bergantung situasi dan keadaan semasa.
"Sekiranya hujan turun, operasi akan dihentikan serta-merta namun setakat ini ia masih diteruskan dan anggota juga bersilih ganti sehinggalah baki 14 mangsa ditemui.
"Kita telah bersedia untuk meneruskan operasi pada waktu malam dan segala aset dan bentuk pencahayaan juga telah disediakan," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian, pada Jumaat.
Mengulas mengenai cabaran dihadapi anggota penyelamat, Norazam berkata, kedudukan mangsa yang tertimbus sehingga tiga atau empat kaki dan tanah runtuh telah menolak mangsa 50 hingga 100 meter.
"Kem ada tiga tempat dalam satu kawasan, peringkat atas, tengah dan bawah. Kebanyakan mangsa dijumpai di kawasan atas iaitu Hill View.
"Selain itu, pada jam 7 hingga 9 pagi masih terdapat pergerakan tanah dan anggota penyelamat juga berada dalam keadaan berwaspada kerana terdapat aliran sungai keluar dari runtuhan," jelasnya.
Awal pagi tadi, Astro AWANI melaporkan seramai 94 pengunjung tapak perkhemahan Father Organic Farm terlibat dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Batang Kali-Gohtong Jaya, pada jam 2 pagi.
Setakat ini, angka korban meningkat kepada 19 mangsa termasuk empat kanak-kanak manakala 14 lagi diklasifikasikan sebagai masih hilang.