Tanah runtuh Batang Kali: Operasi SAR ditangguh, bersambung 8 pagi esok

Bernama
Disember 22, 2022 22:30 MYT
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lagi mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, Gohtong Jaya, ditangguhkan kira-kira 8 malam ini ekoran hujan. - Gambar fail/FB JBPM Selangor
BATANG KALI: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lagi mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, Gohtong Jaya di sini, ditangguhkan kira-kira 8 malam ini ekoran hujan.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Suffian Abdullah ketika dihubungi Bernama berkata operasi akan bersambung pada 8 pagi esok namun bergantung kepada cuaca.
Tragedi yang berlaku pada 2.42 pagi Jumaat lepas itu setakat ini menyaksikan 61 selamat, 30 nyawa terkorban manakala seorang lagi masih hilang daripada keseluruhan 92 mangsa yang dilaporkan terlibat.
Hari ini, SAR yang memasuki hari ketujuh berjaya menemukan empat mangsa terdiri daripada seorang lelaki dewasa, seorang wanita dewasa serta dua kanak-kanak di sektor C pada kedalaman tujuh meter, lengkap berpakaian dan sudah mula mereput, pada 11.04 pagi.
[LAPOR LANGSUNG] Tanah runtuh Batang Kali: 30 mangsa ditemui setakat ini, seorang lagi masih hilang
Hujan lebat sejak petang tadi memaksa operasi dihentikan sementara waktu atas faktor keselamatan selain memberi ruang kepada pihak geologi untuk mengkaji semula keadaan pergerakan tanah.
Pada sidang media lewat petang tadi, polis mengesahkan jumlah rasmi dan sebenar kesemua mangsa yang terlibat dalam kejadian itu adalah seramai 92 dan bukannya 94 orang sebagaimana diumum sebelum ini.
Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata jumlah baharu itu diperoleh setelah perkiraan dan semakan semula dibuat beberapa kali, berdasarkan maklumat dan laporan yang diterima daripada pelbagai pihak termasuk ahli keluarga.
-- BERNAMA
#operasi sar #Tanah Runtuh Batang Kali #Father's Organic Farm #ditangguh
;