Tanah runtuh Batang Kali: Operasi SAR ditangguh atas faktor cuaca

Fareez Azman
Disember 23, 2022 18:47 MYT
Menurut Suffian, setakat ini usaha pencarian masih belum menemui sebarang perkembangan positif. - Fail/BERNAMA
HULU SELANGOR: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lagi mangsa yang masih hilang dalam kejadian tanah runtuh di Father's Organic Farm, Batang Kali di sini ditangguhkan atas faktor cuaca.
Menurut Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah, usaha pencarian terpaksa ditangguhkan disebabkan hujan lebat pada petang Jumaat.
"Setakat ini usaha pencarian masih belum menemui sebarang perkembangan positif.
"Usaha pencarian telah ditangguhkan sementara pada jam 5.30 petang Jumaat disebabkan hujan lebat yang boleh membahayakan pasukan mencari dan menyelamat," jelasnya dalam kenyataan media hari ini.
Operasi mencari dan menyelamat masuk hari kelapan, melibatkan 97 anggota pelbagai agensi, dibantu 11 jengkaut tanah dan sembilan ekor anjing pengesan K9.
Sehingga kini, 30 mangsa terkorban, manakala 61 lagi mangsa terselamat dalam kejadian tragedi tanah runtuh di sini pada Jumaat.
Seorang lagi mangsa masih hilang iaitu kanak-kanak lelaki.
#tanah runtuh #batang kali #operasi SAR ditangguh #pencarian mangsa terakhir
;