Tanah runtuh Batang Kali: Operasi SAR disambung semula, tanah lembut lepas hujan sukarkan pencarian

Fareez Azman
Disember 18, 2022 19:39 MYT
Operasi SAR disambung semula jam 6 petang tadi selepas dihentikan buat sementara akibat hujan lebat kira-kira sejam sebelum itu. - Gambar/ Jabatan Penerangan
BATANG KALI: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang masih hilang dalam kejadian tanah runtuh di kawasan tapak perkhemahan di Jalan Batang Kali-Gohtong Jaya berdepan kesukaran disebabkan keadaan tanah yang lembut akibat hujan.
Pengarah Bomba Negeri Selangor, Datuk Norazam Khamis, berkata operasi berkenaan disambung semula jam 6 petang tadi selepas dihentikan buat sementara akibat hujan lebat kira-kira sejam sebelum itu.
"Terdahulu operasi itu terpaksa ditangguhkan selepas kita mengesan risiko pergerakan tanah, keadaan tanah semakin lembut dan air semakin mengalir akibat hujan lebat... kita terpaksa berhenti demi keselamatan petugas.
"Kita sambung semula berdasarkan keadaan tanah, tapi di lokasi lebih selamat sikit untuk pasukan keselamatan.
"Pemantauan keselamatan telah dibantu pihak Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) dan mereka telah memasang sensor pergerakan tanah, jika berlaku pergerakan tanah, maklumat segera akan disalur kepada kita," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Tragedi Batang Kali | Perkembangan pencarian mangsa tanah runtuh
[LAPOR LANGSUNG] Tanah runtuh Batang Kali: Operasi hari ketiga diteruskan, 9 mangsa masih hilang
Beliau berkata, lokasi yang paling berisiko adalah sektor A (Kem Hill View).
Katanya, operasi akan diteruskan sehingga jam 4 pagi jika tidak menghadapi kekangan cuaca atau keadaan di luar kawalan.
Tragedi tanah runtuh yang berlaku pada 2.42 pagi di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, Gohtong Jaya, Batang Kali itu setakat ini menyaksikan 24 nyawa terkorban dan sembilan lagi mangsa masih hilang.
#tanah runtuh #batang kali #operasi sar #hujan lebat
;