Tanah runtuh Batang Kali: MPHS keluar 25 notis penutupan sementara di tapak perkhemahan
Hasimi Muhamad
Disember 17, 2022 13:24 MYT
Disember 17, 2022 13:24 MYT
BATANG KALI: Sebanyak 25 notis penutupan sementara telah dikeluarkan selama tujuh hari kepada tapak-tapak perkhemahan yang berisiko dilanda bencana di sekitar Hulu Selangor.
Menurut Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS), Mohd Hasry Nor Mohd,
tindakan tersebut diambil susulan arahan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming pada Jumaat yang mengarahkan supaya semua tapak perkhemahan berhampiran sungai dan lokasi berisiko tinggi di seluruh negara ditutup selama tujuh hari, berkuat kuasa serta-merta.
Selain itu, beliau mengakui kebanyakan tapak berkenaan beroperasi secara haram, selain memaklumkan pengusaha terbabit sedang menjalani proses pemutihan.
"MDHS telah mengeluarkan 25 notis kepada kawasan tapak perkhemahan yang berisiko di tepi sungai dan cerun sekitar Hulu Selangor.
"Ada (tapak perkhemahan) yang tidak berlesen, walau bagaimanapun ia dalam proses pemutihan dan kita telah mengarahkan supaya semua kawasan inap desa ini dilesenkan mengikut prosedur pelesenan," katanya pada sidang media di lokasi kejadian tanah runtuh di sini, hari ini.
Semalam Nga mengarahkan semua tapak perkhemahan berhampiran sungai dan lokasi berisiko tinggi di seluruh negara ditutup selama tujuh hari, berkuat kuasa serta-merta.
Ujar Nga, arahan sudah dikeluarkan kepada 155 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) susulan ramalan hujan lebat berterusan selama lima hari ekoran Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula hari ini.
Setakat malam tadi, seramai 21 mangsa disahkan meninggal dunia dalam kejadian runtuhan tanah di Jalan Batang Kali - Gohtong Jaya, manakala 12 orang lagi masih hilang.
Seramai 94 individu terlibat dalam kejadian tanah runtuh yang berlaku pada awal pagi Jumaat.