Tanah Runtuh Batang Kali: Mayat terakhir dibawa ke HSB untuk bedah siasat

Astro Awani
Disember 24, 2022 19:35 MYT
Mangsa terakhir tragedi tanah runtuh di Father's Organic Farm dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat. - Gambar fail/BERNAMA
SUNGAI BULOH : Mayat kanak-kanak lelaki dipercayai mangsa terakhir tragedi tanah runtuh di Father's Organic Farm yang ditemukan di dalam beg tidur di sektor A (hillview) dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat.
Mayat kanak-kanak yang dianggarkan berusia tujuh hingga 12 tahun itu tiba di hospital berkenaan kira-kira pukul 6.15 menaiki trak polis.
Difahamkan keadaan mayat sudah mula reput dan proses bedah siasat akan dilakukan hari ini.
Waris mangsa juga dilihat sudah tiba bagi proses pengecaman mayat.
Setakat pukul 7 malam, waris mangsa masih belum kelihatan untuk melakukan proses pengecaman mayat.
Dalam sidang akhbar di lokasi kejadian, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail berkata, mangsa ditemui pada pukul 4.53 petang di kedalaman dianggarkan sedalam 1.5 meter.
Menurutnya, kanak-kanak itu ditemui sekitar empat meter dari tapak asal dia dan keluarganya berkhemah sebelum kejadian pada 16 Disember lalu.
Dengan penemuan mayat kanak-kanak, kesemua 31 mangsa disahkan mati dalam tragedi tanah runtuh pada 16 Disember lalu.
#bedah siasat #Jabatan Forensik #mayat terakhir #Tanah Runtuh Batang Kali
;