Tanah runtuh Batang Kali: Mayat ke-16 dibawa keluar dari HSB
Astro Awani
Disember 18, 2022 10:51 MYT
Disember 18, 2022 10:51 MYT
BATANG KALI: Mayat ke-16 mangsa tragedi tanah runtuh Batang Kali dibawa keluar menaiki kenderaan Pusat Peringatan Nirvana kira-kira pukul 10.25 pagi ini, selepas selesai proses bedah siasat.
Dengan perkembangan terbaru ini, lapan lagi mayat dipercayai masih ditempatkan di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh (HSB), di sini, setakat ini.
Bagaimanapun, identiti penuh mangsa yang dibawa keluar, dipercayai seorang individu dewasa, tidak dapat dipastikan.
Ini kerana, pihak media yang berkampung di perkarangan jabatan itu sejak pukul 8 pagi setakat ini tidak menerima sebarang maklumat daripada kakitangan hospital mahupun pihak pengurusannya.
Awal pagi Jumaat lalu, berlaku runtuhan tanah sepanjang hampir 300 meter dan setinggi 70 meter di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, yang terletak di Jalan Batang Kali-Genting Highlands.
Setakat petang semalam, seramai 24 mangsa disahkan terkorban daripada keseluruhan 94 orang yang terlibat dalam tragedi itu, 61 selamat dan sembilan masih hilang.