Tanah runtuh Batang Kali: Lumpur tebal, becak sebab orang awam dilarang berada di kawasan SAR
Hasimi Muhamad
Disember 17, 2022 22:41 MYT
Disember 17, 2022 22:41 MYT
BATANG KALI: Kawasan tanah runtuh yang berlumpur tebal dan becak antara faktor menyebabkan orang awam atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tidak dibenarkan menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor dalam satu kenyataan berkata, keadaan tanah di lokasi kejadian juga masih tidak stabil.
Kata pasukan menyelamat berkenaan, setakat ini operasi SAR hanya melibatkan lima agensi utama, bagi mengesan sembilan lagi mangsa yang masih hilang.
Agensi berkenaan adalah JBPM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Pasukan Mencari & Menyelamat Khas Malaysia (SMART), serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
JBPM Selangor menambah, tiga aspek utama diambil kira untuk anggota terlibat iaitu keselamatan, kemahiran, dan kecergasan.
Pada Sabtu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata operasi SAR hanya diketuai JBPM, dan tidak sesuai bagi orang awam untuk membantu operasi.
Justeru, sukarelawan dan NGO tidak dibenarkan berada di lokasi operasi SAR insiden tanah runtuh.
Setakat Sabtu malam, seramai 24 mangsa terkorban, dengan sembilan lagi masih hilang dalam insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm.