Tanah runtuh Batang Kali: KPN jamin pengamal media terus dapat maklumat terkini

Bernama
Disember 17, 2022 19:59 MYT
Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani tiba di lokasi kejadian tanah runtuh di Father Organic Farm Batang Kali hari ini. - Foto BERNAMA
BATANG KALI: Polis Diraja Malaysia akan memastikan pengamal media terus mendapat maklumat terkini mengenai operasi pencarian mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Fathers' Organic Farm, Gohtong Jaya di sini.
Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, ketika memberikan jaminan itu, berkata beliau telah mengarahkan Pos Kawalan Pusat Kejadian (PKTK) agar terus memberi maklumat secukupnya kepada media yang berperanan sebagai penghubung antara perkembangan di lokasi dengan masyarakat di luar.
"Sebab medialah yang jadi penghubung dengan masyarakat di luar sana, saya harap petugas PKTK akan sentiasa beri maklumat terkini operasi pencarian," katanya kepada pemberita selepas melawat PKTK di sini hari ini.
Pada 2.42 pagi Jumaat, berlaku runtuhan tanah sepanjang hampir 300 meter dan setinggi 70 meter di tapak perkhemahan itu dan setakat 4.05 petang ini, seramai 61 daripada 94 mangsa ditemukan selamat, 24 meninggal dunia manakala yang masih hilang sembilan orang.
BACA: Tanah Runtuh Batang Kali: Sukarelawan, NGO tidak dibenar masuk kawasan pencarian - KPN
[LAPOR LANGSUNG] Tanah runtuh Batang Kali: Satu mayat kanak-kanak perempuan ditemukan, angka korban 24
Sementara itu, jaringan telekomunikasi di PKTK di sini yang menjadi lokasi media berkampung bagi mendapatkan perkembangan terkini bertambah baik selepas Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil melakukan tinjauan malam tadi.
Fahmi berkata sebagai langkah awal bagi mengatasi masalah itu, pihak Telekom Malaysia (TM) dan syarikat telekomunikasi telah diarah menghantar 'Mobile Coverage Vehicle' bagi pelaksanaan 'Coverage On Wheels' (COW) di lokasi.
-- BERNAMA
#Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani #Tanah Runtuh Batang Kali #Fathers' Organic Farm #pengamal media
;