Tanah runtuh Batang Kali: KPM tempatkan kaunselor di hospital, bantuan psikologi kepada waris mangsa

Umavathi Ramayah
Disember 17, 2022 14:25 MYT
Fadhlina memberitahu, inisiatif itu turut mendapat kerjasama Bahagian Kesihatan Mental dan Psikologi Sosial, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). - Foto BERNAMA
SUNGAI BULOH: Kementerian Pendidikan menempatkan sembilan kaunselor di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh di sini sebagai bantuan awal psikologi sosial kepada ahli keluarga dan waris mangsa yang terkorban dalam tragedi tanah runtuh di Batang Kali, pada Jumaat.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pegawai berkenaan ditugaskan mengikut tiga syif dengan tiga pegawai pada setiap satu sesi.
“Sesi sokongan ini akan diteruskan sehingga keseluruhan proses selesai sepenuhnya,” katanya ketika ditemui selepas melawat perjalanan sesi kaunseling di Hospital Sungai Buloh di sini, pada Sabtu.
Fadhlina memberitahu, inisiatif itu turut mendapat kerjasama Bahagian Kesihatan Mental dan Psikologi Sosial, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Saya berharap waris mangsa akan diberi ruang untuk melalui situasi sukar ini, serta mendapatkan maklumat yang tepat dan sokongan daripada rakyat Malaysia,” tambahnya.
[LAPOR LANGSUNG] Tanah runtuh Batang Kali: Operasi SAR fokus dua tapak perkhemahan, guna jentera berat
[TERKINI] Sidang media Menteri Pendidikan I 17 Dis 2022
Katanya, proses pengecaman masih lagi berjalan dan kenyataan rasmi hanya boleh dikeluarkan oleh KKM.
Setakat 2 petang tadi, seramai 23 mangsa disahkan meninggal dunia dalam kejadian runtuhan tanah di Jalan Batang Kali - Gohtong Jaya, manakala 10 orang lagi masih dilaporkan hilang.
Seramai 94 individu terlibat dalam kejadian tanah runtuh yang berlaku pada awal pagi Jumaat.
#tanah runtuh #batang kali #Fadhlina Sidek #bantuan kaunselor
;