Tanah Runtuh Batang Kali: KKD pandang serius tambah baik sistem amaran kepada rakyat

Fareez Azman
Disember 16, 2022 10:40 MYT
Anggota penyelamat yang dikerah dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa di tapak perkhemahan di Jalan Batang Kali, Genting Highlands, pada Jumaat. - Astro AWANI/Afiezy Azaman
PUTRAJAYA: Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menjelaskan pihaknya memandang serius untuk menambah baik sistem komunikasi amaran terutama melibatkan bencana di negara ini.
Jelasnya ketika mengulas mengenai kejadian tanah runtuh di Batang Kali, ujar Fahmi, beliau mengingatkan rakyat agar sentiasa peka dengan amaran yang dikeluarkan pihak berkuasa terutama ketika perubahan cuaca berlaku.
"Saya sebelum ini ada berbincang dengan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) sama ada kita boleh berusaha bersama syarikat telekomunikasi untuk meningkatkan sistem amaran terutama di kawasan dikenal pasti Jabatan Meterologi kawasan kemungkinan menjadi hotspot.
"Ini adalah satu insiden yang sangat menyedihkan, memang very sad. Cuma kita harap semua warga sentiasa mendengar amaran daripada Jabatan Kaji Cuaca, saya harap kita pandang serius amaran ini," katanya.
Tambah Fahmi, kerajaan akan meneliti semula segala saluran amaran yang boleh diperbaiki terutama melibatkan aktiviti-aktiviti berisiko.
[LAPOR LANGSUNG] Tanah runtuh Batang Kali: Lapan maut setakat ini - NADMA
"Mungkin kerajaan perlu meneliti sekiranya bentuk amaran itu boleh kita panjangkan kepada beberapa bentuk aktiviti berisiko.
"Kita kena (lakukan), bagi saya dapatkan sikit maklum balas dengan agensi dan jabatan terlibat bagaimana nak tambah baik sistem amaran," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Amanat Menteri Komunikasi dan Digital di Putrajaya pada Jumaat.
#tanah runtuh #Father's Organic Farm #Fahmi Fadzil #sistem komunikasi amaran
;